PADA Jumaat, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), dalam satu kenyataan mengatakan bahawa penggunaan sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) dan melantik pengadil luar negara berkelayakan untuk mengendalikan teknologi itu pada final Piala Malaysia 2023 akan menelan perbelanjaan yang tinggi.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Datuk Stuart Ramalingam, cadangan itu akan dipertimbangkan untuk memastikan VAR dapat dilaksanakan pada final Piala Malaysia tahun ini.
Selain menyasarkan untuk menggunakan kepakaran tempatan, Stuart berkata, MFL perlu berbelanja secara berhemah dalam pelaksanaan penggunaan VAR untuk Liga Malaysia (Liga-M).
Tambahnya lagi, keputusan sama ada VAR bakal digunakan pada final Piala Malaysia 2023 akan diketahui selepas kursus VAR melibatkan barisan pengadil tempatan berakhir Disember ini.
Pengadil Malaysia sedang menjalani latihan VAR. — Facebook/MFL
Bagaimanapun, terdapat beberapa penyokong setia bola sepak tanah air memberi pendapat bahawa penggunaan VAR tersebut perlu dilaksanakan bagi mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku seperti isu pengadilan yang membawa kepada ketidakpuashatian dalam kalangan peminat.
Bukan itu sahaja malah ada yang berpendapat bahawa dengan adanya teknologi seperti itu dapat mengesan pemain-pemain yang sanggup menipu di atas padang seperti berlakon sakit semata-mata.
Penggunaan VAR sedikit sebanyak mampu membantu pengadil perlawanan menangani isu seperti itu kerana keputusannya sangat tepat.
"Elok lah, baru pengadil boleh tengok aksi lakonan yang sebenar player-player. Kami yang tengok dekat televisyen pun nampak," kata Amirul Azizi.
"Pakai lah, demi kebaikan semua pihak. Win-win situation, baru ada kemajuan bola sepak kita, lepas ni mana-mana pengadil yang banyak buat silap, berat sebelah bagi pencen terus," kata Kura Kura Malu.
"Come on lah MFL. Inilah pelaburan yang anda buat, ini adalah nilai tambah Liga Malaysia di peringkat ASEAN, Asia malah dunia juga.
"Kalau tak berani nak melabur di Liga Malaysia, jangan terlibat," kata Zulkiflee Ismail.
Oleh itu, penyokong berharap agar MFL berani menggalas tanggungjawab tersebut dengan melaksanakan penggunaan VAR di Liga M.
Dengan corak permainan pasukan yang semakin laju dan pemain yang bijak berlakon, pengadil juga memerlukan bantuan daripada pihak yang lain.
Di samping meningkatkan mutu pengadilan, ia juga dapat mengurangkan tekanan pada pengadil kerana difahamkan ramai pengadil mengambil keputusan untuk berhenti mengadili disebabkan tekanan membuat keputusan yang salah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram