[VIDEO] Sekadar seri dengan Perak, fans Bujang Senang cetuskan rusuhan 9 tahun lalu


  • Podium
  • Jumaat, 01 Sep 2023

Beberapa penyokong kelab Borneo itu memasuki stadium sebelum merosakkan beberapa fasiliti yang disediakan.

SEHINGGA hari ini, isu keganasan, atau juga dikenali sebagai hooliganisme masih berlaku sehingga ia menyebabkan imej pasukan-pasukan tempatan mula tercalar.

Pergaduhan antara penyokong Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Penang FC selepas aksi Liga Super Ogos lalu merupakan antara contoh terbaik untuk menceritakan mengenai hal tersebut.

Selain itu, pertempuran antara golongan 'casual' ketika perlawanan antara Selangor FC dan Perak FC Mei lalu juga boleh dianggap sebagai satu gejala tidak sihat yang masih berterusan dalam sukan itu.

Perkara tersebut bukanlah sesuatu yang baharu memandangkan hal sebegitu sering menghiasi dada-dada akhbar sejak beberapa tahun sebelum ini.

Insiden berbaur keganasan yang tercetus selepas perlawanan Piala Malaysia 2014 antara Perak FA dan Sarawak FA di Stadium Negeri, Sarawak merupakan antara momen sukar dilupakan kerana ia dianggap mencalarkan imej bola sepak tempatan.

Berdasarkan laporan lalu, pergaduhan itu berlaku selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam aksi peringkat kumpulan, sekali gus menutup peluang skuad Bujang Senang untuk meneruskan kemaraan.

Berang dengan skor pada penghujung perlawanan, sebilangan penyokong tuan rumah mula mencetuskan provokasi sehingga memaksa pihak berkuasa menggunakan kekerasan untuk meleraikan konflik di stadium itu.

Difahamkan, seramai 2,000 penonton terlibat dalam rusuhan berkenaan, namun hanya lima daripada mereka ditahan selepas anggota polis mengambil masa kira-kira tiga jam untuk menenangkan keadaan.

Bagaimanapun, usaha untuk meleraikan ribuan penyokong tidaklah mudah memandangkan mereka terpaksa menggunakan 26 gas pemedih mata dan 10 bom asap sepanjang tempoh tersebut.

bakar03.transformed_0

Kenderaan peronda polis yang dibakar di luar Stadium Negeri.

Menurut perkongsian saksi, kejadian itu berlaku rentetan daripada ketegangan antara penyokong sejak pertemuan kedua-dua pasukan di Stadium Ipoh, Perak tiga hari sebelumnya.

Rusuhan itu mengakibatkan pihak polis terpaksa menanggung kos kerugian akibat beberapa buah kenderaan peronda yang dibakar serta diterbalikkan di bahu jalan.

Selain itu, terdapat juga insiden di mana perusuh membakar mercun dan suar serta merosakkan fasiliti di stadium, seperti papan iklan dan peralatan lain.

Lebih mendukacitakan lagi, rusuhan itu tercetus ketika ambang kemerdekaan, yang hanya mencalarkan lagi reputasi bola sepak tanah air dalam kalangan peminatnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram