PELBAGAI cara dipraktikkan rakyat negara ini untuk menzahirkan semangat patriotisme mereka bersempena sambutan bulan kemerdekaan yang berlangsung sepanjang Ogos.
Selain mengibarkan Jalur Gemilang di bangunan-bangunan, ada juga yang mengambil inisiatif menggunakan media digital untuk membuktikan rasa cinta masing-masing.
Tetapi, bagi atlet muda dalam sukan renang, Goh Li Hen, pencapaiannya ketika menyertai temasya Sukan Komanwel Remaja (CYG) yang diadakan di Trinidad & Tobago awal Ogos lalu.
Perenang berusia 17 tahun berkenaan mengungguli acara 200 meter (m) kuak kupu-kupu dengan catatan masa akhir 2 minit 3.63 saat yang mana juga merupakan penampilan pertamanya secara profesional dalam mana-mana kejohanan.
Catatan itu pastinya cukup bermakna buatnya memandangkan dia merupakan satu-satunya wakil negara yang membawa pulang pingat emas daripada CYG 2023.
Li Hen mengakui dirinya gementar sebelum beraksi di Trinidad & Tobago. — Agensi
Menceritakan akan pengalamannya itu, Li Hen tidak dapat menafikan bahawa dirinya cukup berbangga apabila diberikan peluang untuk menampilkan kemampuannya di peringkat lebih tinggi.
"Memandangkan ia merupakan penampilan saya di pentas antarabangsa, perasaan saya tentunya bercampur-baur memandangkan saya akan bertemu atlet luar negara yang mempunyai kelebihan dari segi fizikal.
"Tetapi, saya berterima kasih kepada jurulatih-jurulatih saya, seperti Coach Xue Ting, Coach Zhang dan Ketua Jurulatih di Kelab Golf dan Country Kota Permai, Coach Zalah," katanya kepada Majoriti.
Dalam acara akhir, catatan masa Li Hen membolehkannya menamatkan saingan di tangga teratas sementara atlet dari England, Reuben Rowbotham-Keating memenangi pingat perak sementara pingat emas dibawa pulang wakil Afrika Selatan, Jarden Dylan Eaton.
Li Hen (dua dari kanan) ketika bertemu Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli. — Facebook/Olympic Council of Malaysia
Kemenangannya itu turut menamatkan penantian negara untuk memenangi pingat emas memandangkan kontinjen negara gagal berbuat demikian dalam edisi yang lalu.
Jelasnya lagi, peluang yang diberikan untuk mewakili Malaysia juga dirasakan sebagai satu pengalaman berharga buatnya dengan ia turut hadir di samping satu tanggungjawab yang besar.
"Saya turut teruja kerana diberikan kepercayaan untuk menonjolkan kebolehan saya dan membanggakan negara. Memenangi pingat emas juga boleh dianggap sebagai satu sumbangan cukup bermakna buat saya untuk mengharumkan nama negara.
"Tambahan pula, kejayaan yang dicipta ketika bulan kemerdekaan memberikannya makna lebih besar kerana ia membuktikan bahawa kita boleh meraih pencapaian dalam segala bidang kita ceburi. Malaysia Boleh!" katanya lagi.
Selepas ini, Li Hen akan bertanding dalam Kejohanan Renang Peringkat Umur Asia Tenggara yang bakal dianjurkan di Jakarta, Indonesia dengan dia sudah pun mengadakan sesi latihan berpusat di negara terbabit. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram