BOLA Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan bola sepak tempatan.
PERHATIKAN betul-betul carta terkini liga. Kemudian lihat pula jadual perlawanan yang berbaki hingga tamat pusingan ke-26 Liga Super. Dilihat dari atas ke bawah atau jika suka, dari bawah ke atas, anda tidak dapat mengalihkan tumpuan daripada satu perkara – bahawa Selangor FC masih berada di “kerusi pemandu” untuk menamatkan musim di tangga kedua.
Bekas ketua jurulatih Kedah Darul Aman (KDA) FC, Azraai Khor Abdullah, mungkin melihatnya berbeza. Kepada bekas jurulatih skuad ‘double treble’ Sang Kenari 2006-2008 itu, dia harus bernostalgia untuk mengharapkan KDA FC mampu memintas ketika menghampiri garis penamat bagi bergelar naib juara.
Di atas kertas, pada ketua jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe, pasukannya yang memiliki ‘advantage’ ketika ini sambil membiarkan kepada kelompok penghambat, termasuk KDA FC, Sabah FC dan Sri Pahang FC untuk mencongak-congak apa yang perlu mereka lakukan seterusnya.
Sebahagian aksi skuad Gergasi Merah ketika menewaskan Kelantan FC. — Facebook/MFL
Menurut Azraai, KDA FC, walaupun ketinggalan lima mata di belakang Gergasi Merah dan memiliki satu perlawanan dalam tangan, masih berpeluang untuk mengesahkan tempat ke saingan peringkat Asia musim depan tetapi dengan satu syarat – mereka wajib menang baki lima perlawanan untuk menghidupkan peluang menjadi naib juara Liga Super.
Sekalipun berjaya merangkul 15 mata maksimum, adalah perlu untuk KDA FC mengharapkan Selangor FC keciciran mata bagi memastikan misi 'potong tang kona' mereka berhasil.
"Peluang itu masih ada, tiada yang mustahil. Yang penting, perlu konsisten. Hal ini kerana skuad KDA ada masanya akan keciciran mata ketika bertemu pasukan yang tak dijangka.
"Mereka masih lagi ada peluang untuk layak ke Piala AFC. KDA FC perlu yakin (dengan diri sendiri). Selangor FC juga boleh keciciran mata, mereka juga boleh kalah," kata Azraai kepada Majoriti.
Selangor FC, di sebalik sudah menghimpun 49 mata daripada 22 perlawanan, sekali imbas mempunyai laluan lebih mudah daripada baki perlawanannya.
Sang Kenari berjaya mengikat skuad Harimau Selatan dengan keputusan 3-3. — Facebook/MFL
Selangor FC dijadualkan berdepan Terengganu FC di tempat lawan (29 September), Perak FC (5 November) Home, KDA FC (2 Disember) Away dan PDRM FC (17 Disember) Home.
KDA FC pula akan menghadapi Kuala Lumpur City FC (30 September) Away, Negeri Sembilan FC (28 Oktober) Home, Kelantan FC (24 November) Away, Selangor FC (2 Disember) Home dan Sabah FC (17 Disember) Away.
“Ya, di atas kertas, Selangor FC memiliki sedikit kelebihan tapi itu tidak bermakna kami tidak perlu berhati-hati. Kami perlu fokus kepada permainan kami sendiri, menghadapinya satu-persatu dan tidak memandang terlalu jauh ke hadapan.
“Dalam pada itu, kami juga perlu bersiap untuk suku akhir Piala Malaysia (menentang Terengganu di tempat lawan pada 15 September) dan aksi timbal balik (23 September),” kata Cheng Hoe.
Mungkin tidak salah pada penilaian Azraai yang pada penghujungnya nanti, ia akan ditentukan oleh pertemuan KDA FC- Selangor FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 2 Disember– itu pun jika kedua-dua pasukan meraih mata maksimum dalam laluan ke sana. Jika itu berlaku, Selangor FC akan menghimpun 55 mata manakala KDA FC pula 53 mata.
Jika pun Selangor FC ditakdirkan tewas dalam perlawanan itu yang akan menyaksikan KDA FC berkelebihan satu mata, maka kata pemutusnya adalah dalam perlawanan terakhir masing-masing.
Selangor FC akan menentang PDRM FC di Stadium MBPJ pada 17 Disember manakala KDA FC harus menundukkan Sabah FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada hari yang sama.
Mungkin ketika itu tiada siapa yang dilihat memiliki kelebihan kerana lawan masing-masing akan turut bermati-matian untuk menamatkan musim di kedudukan lebih baik.
Cheng Hoe menyandarkan harapan kepada skuadnya yang kini lengkap semula dengan kembalinya penyerang, Faisal Abdul Halim, daripada penggantungan untuk menyumbang dua gol dalam kemenangan 11-2 ke atas Kelantan FC di Kota Bharu, 25 Ogos lalu.
Cheng Hoe menyandarkan harapan kepada skuadnya yang kini lengkap semula dengan kembalinya penyerang, Faisal Abdul Halim. — Facebook/MFL
Ketajaman Ayron del Valle dengan empat gol manakala Richmond Boakye-Yiadom yang mencatat hatrik dalam perlawanan itu turut menyerlahkan kedua-dua makin serasi untuk Gergasi Merah terus menagih lebih banyak jaringan daripada mereka.
"Bukan perlawanan dengan Selangor FC itu saja (yang penting). Kesemua lima perlawanan ada kepentingannya, jadi perlu dapatkan keputusan (positif). Sambil itu (KDA FC) perlu harapkan Selangor FC keciciran mata kerana dalam bola sepak faktor nasib juga memainkan peranan," ujar Azraai lagi.
Cheng Hoe pula menyimpulkan: “Di pihak Selangor FC, kami perlu mengelak keciciran sebarang mata lagi. Jika itu dapat dilakukan, kami harus berada di sana (tangga kedua liga).” — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram