Bakat muda Penang mula disebut-sebut, dilabel setaraf ubi muda JDT, KL City


  • Podium
  • Jumaat, 01 Sep 2023

Alif Ikmalrizal (kanan) sering diberikan peranan sebagai pemain gantian bersama skuad Harimau Kumbang. — Facebook/Penang FC

KETIKA kempen Piala AFF Bawah 23 Tahun (B-23) Ogos lalu, beberapa pemain yang dipanggil oleh pengendali pasukan, E Elavarasan berjaya menampilkan aksi terbaik.

Antara yang menyinar sepanjang pertandingan itu ialah penyerang berusia 21 tahun, Alif Ikmalrizal yang diberikan peluang buat pertama kali untuk mewakili skuad muda kebangsaan.

Panggilan itu dibuat selepas pemain terbabit bersinar di peringkat kelab bersama Penang FC apabila dia sering menjaringkan gol meskipun beraksi pada minit-minit akhir permainan.

Tiga gol peribadi yang diperoleh dalam Liga Super, termasuk ketika menang ke atas Kelantan FC merupakan bukti utama bahawa dia mempunyai kebolehan untuk mengetuai jentera serangan.

Jadi, statistik itu sudah cukup untuk membuka mata barisan kejurulatihan negara untuk memberikannya peluang dalam kempen Piala AFF B-23.

alif ikmalrizal anuar slotted in the goal for Malaysia in the Asean Football Federation Under-23 Championship

Alif (tengah) mempamerkan aksi cukup cemerlang bersama skuad B-23 negara. Facebook/FAM

Namun, tanpa disangka-sangka, Alif dilihat seperti tidak berdepan sebarang cabaran untuk membuktikan kebolehannya di peringkat antarabangsa dengan menjaringkan dua gol ketika berdepan Timor Leste.

Tidak cukup dengan itu, pemain berkenaan sekali lagi muncul sebagai peledak utama skuad B-23 negara apabila memecahkan kubu pertahanan Vietnam di peringkat separuh akhir.

Meskipun pasukan kebangsaan gagal melayakkan diri ke perlawanan akhir, Alif masih boleh tersenyum selepas namanya tersenarai sebagai penjaring terbanyak di samping penyerang Vietnam, Dinh Xuan Tien.

Pencapaian itu sudah tentu menaikkan lagi reputasinya dalam kalangan penyokong bola sepak tanah air yang tidak dapat menahan diri daripada terus memujinya.

Antara yang tampil memberi sokongan ialah pengguna Facebook, Don K-Rul Izham yang berpendapat Alif mempunyai kualiti penyudah berkualiti di hadapan pintu gol lawan.

"Ketika ini saham Alif Ikmalrizal sedang meningkat naik. Dia sudah semestinya berada dalam senarai 'watchlist' beberapa pasukan elit Liga Super.

1897734

Haqimi Azim mempunyai reputasi cukup baik di peringkat kelab dan kebangsaan. Facebook/FAM

"Alif belum mencapai status pemain elit dan keberadaan dia bersama persekitaran yang tidak banyak membantu 'progress' permainan dia," tulisnya.

Tambahnya lagi, statistik terkini menunjukkan penyerang skuad Harimau Kumbang terbabit sudah menjaringkan sembilan gol dalam kesemua pertandingan, termasuk Piala MFL awal musim lalu.

Sumbangan itu boleh dilabel sebagai satu pulangan yang berbaloi, lebih-lebih lagi melihat kepada usianya yang masih muda serta mampu untuk dikembangkan lagi.

Di samping itu, penyokong berkenaan turut berasakan Alif boleh disenaraikan di samping penyerang-penyerang muda yang kini mula mewarnai arena bola sepak tempatan.

"Dalam usia 21 tahun, Alif Ikmalrizal boleh diletakkan dalam balang exceptional talent, pemain berbakat dalam rangka umur 20 hingga 24 tahun bersama-sama penyerang Johor Darul Takzim II, Gabriel Nistelrooy dan penyerang Kuala Lumpur City, Haqimi Azim," tulisnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram