[VIDEO] Hilang tempat di JDT, Natxo Insa 'merajuk' pulang kampung


  • Podium
  • Jumaat, 01 Sep 2023

Musim ini, Natxo hanya diturunkan dalam empat aksi Liga Super. β€” Instagram/NatxoInsa

PERSAINGAN pemain dalam Johor Darul Takzim (JDT) sememangnya sengit sehingga menyaksikan beberapa pemain tidak mendapat tempat untuk beraksi bersama skuad utama bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) mahupun antarabangsa.

Antara pemain yang dilihat kurang mendapat tempat pada musim ini ialah jeneral tengah, Natxo Insa yang dulunya merupakan tonggak utama Harimau Selatan sehingga berhasil membawa juara Liga Super sehingga ke pusingan 16 Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2022.

Namun kini, sejak ditimpa beberapa masalah kecederaan kebelakangan ini, pemain kelahiran Sepanyol itu dilihat semakin bergelut untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama pasukan kendalian Esteban Solari.

Seperti musim ini, Natxo hanya beraksi dalam empat perlawanan Liga Super dengan mengumpulkan 66 minit permainan dan khidmatnya hanya digunakan sebagai pemain gantian bagi kesemua aksi berkenaan.

Dengan keadaan yang menunjukkan khidmatnya jarang digunakan, tidak hairanlah jika bekas pemain Valencia itu dilihat meluangkan masa pulang ke kampung halaman dan beraksi bersama kelab lamanya, Celta de Vigo.

Menerusi perkembangan terbaharu Natxo di laman Instagram Insa Project Global Group, tonggak tengah kebangsaan itu dilihat menerima jemputan dari kelab La Liga itu untuk beraksi dalam perlawanan amal bersama legenda Celta.

β€œIni salah satu penghargaan bagi dia untuk mengambil bahagian dalam pertandingan ini. Natxo Insa mengambil bahagian dalam perlawanan bersama Celta untuk memperingati 100 tahun bersama legenda,” tulis laman tersebut.

Keputusan akhir perlawanan amal tersebut menyaksikan Celta de Vigo merekodkan kemenangan 6-4 ke atas pemain yang dibarisi oleh legenda kelab Internasional.

Susulan penyertaan Natxo yang terbang ke Sepanyol untuk menyertai acara amal tersebut, ada juga penyokong sempat bergurau bahawa bintang Harimau Selatan itu merajuk pulang ke kampung halaman selepas kurang mendapat minit permainan

Gurauan berkenaan hadir apabila musim ini menyaksikan dia perlu bersaing dengan dua pemain muda yang mencabar posisinya sebagai pemain tengah bertahan iaitu Afiq Fazail dan Hong Wan. β€” Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram