'Fans' HM masih tertanya-tanya misteri ketiadaan Afiq Fazail dalam skuad kebangsaan


  • Podium
  • Jumaat, 01 Sep 2023

Afiq Fazail melakukan penampilan sulung bersama Harimau Malaya pada 2017. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

SETIAP kali pengumuman dilakukan oleh jurulatih skuad kebangsaan mengenai senarai pemain yang dipanggil, pasti akan ada saja pertikaian daripada penyokong.

Kenapa tak ambil pemain ini? Nama dari kelab itu jurulatih tak panggil ke? Begitulah ungkapan para penyokong kita setiap kali pengumuman skuad kebangsaan dilakukan.

Ia boleh dianggap normal kerana biasalah, jurulatih tak boleh puaskan hati semua penyokong bukan? Tapi macam mana pula kalau ada satu nama yang sentiasa beraksi cemerlang dalam saingan liga tetapi sering terlepas panggilan ke skuad kebangsaan?

Perkara itu nyata menjadi misteri kepada semua penyokong apabila jika ada satu-satu nama yang sering beraksi baik dalam saingan liga, tetapi sering terlepas peluang untuk mewakili negara.

364192693_852809276215050_8133401047174970781_n

Afiq Fazail sentiasa menjadi pemain boleh diharap (reliable) apabila diturunkan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

Pemain seperti Natxo Insa adalah contoh utama mengapa namanya sering tidak dipanggil untuk mewakili Malaysia? Akan tetapi, selepas banyak kali namanya tidak dipanggil, penyokong mula faham yang pemain itu mungkin tidak ada keinginan lagi untuk beraksi bersama-sama dengan Harimau Malaya.

Kini, muncul nama baharu. Pemain tengah Johor Darul Takzim (JDT), Afiq Fazail, pula yang sering tidak dipanggil menyertai skuad kebangsaan.

Ketiadaan nama Afiq dalam senarai pemain Harimau Malaya menimbulkan spekulasi dalam kalangan penyokong. Untuk rekod, pemain itu sudah empat kali mewakili negara dengan Afiq melakukan penampilan sulung pada 2017 ketika skuad negara dikendalikan oleh Nelo Vingada.

72983509_2469413786488704_7755743860264796160_n

Nama Afiq pernah dipanggil ke skuad kebangsaan satu ketik dahulu. — Facebook/FAM

Selepas empat kali beraksi, yang kelima masih belum kelihatan dan penyokong tercari-cari logik mengapa pemain ini selalu tidak dipanggil sedangkan Afiq masih muda dan di puncak kariernya.

"Hong Wan dengan Natxo Insa memang dah tak sesuai dengan gaya (permainan) Malaysia ni. Afiq je misteri, mamat ni main di attacking midfield boleh, central pun okay," kata penyokong bernama anepkenip.

"Natxo Insa dan Hong Wan boleh faham kenapa mereka tak nak main Malaysia, mereka ambil pasport Malaysia pun sebab TMJ pujuk. Afiq tu yang pelik kenapa jurulatih tak nak panggil," komen blast.putrajaya pula.

"Kenapa tak panggil Afiq Fazail yang berada dalam senarai menunggu untuk gantikan Hong Wan?," soal SalimAzri mencari jawapan misteri ini.

Misteri ini menjadi semakin kuat selepas Kim Pan-gon memilih untuk tidak mendapatkan Afiq yang menanti di senarai menunggu skuad kebangsaan di saat Hong Wan mengalami kecederaan.

Sebaliknya, tiada penggantian pemain dilakukan. Misteri terus menjadi kuat apabila penjaga gol Damien Lim cedera, tetapi Pan-gon memilih untuk menggantikannya dengan Azri Ghani.

Namun begitu, sudah pasti Pan-gon ada penjuriannya dalam menentukan barisan terbaik untuk skuad kebangsaan. Diharap, walaupun tanpa Afiq, Malaysia masih mampu beraksi cemerlang seperti yang sudah dilakukan berkali-kali sebelum ini.

Afiq musim ini mencatatkan 972 minit permainan dengan 17 penampilan keseluruhan musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram