'Semua legenda sudah beri nasihat', Syihan Hazmi tak gentar lawan pasukan ranking lebih baik


  • Podium
  • Jumaat, 01 Sep 2023

Syihan kini penjaga gol nombor satu skuad kebangsaan.

"SEMUA legenda sudah beri nasihat dan semangat yang cukup kuat."

Itulah antara perkongsian penjaga gol kebangsaan, Syihan Hazmi dalam majlis pelancaran Pesta Bola Merdeka 2023 di AEON Big, Wangsa Maju, Kuala Lumpur yang dihadiri legenda bola sepak negara seperti Datuk Dollah Salleh, Datuk Zainal Abidin Hassan, Datuk Santokh Singh dan Datuk Wira Soh Chin Ann pada Khamis.

Musim ini, Syihan tampil cemerlang bersama Johor Darul Takzim (JDT) sekali gus tersenarai antara penjaga gol yang mendapat 'clean sheet' tertinggi dalam Liga Super 2023.

Menurut Syihan, baginya setiap kejohanan adalah berbeza kerana skuad kebangsaan dapat mengenali kelebihan dan kelemahan yang perlu diperbaiki dalam setiap perlawanan.

"Setiap kejohanan yang saya main semuanya berbeza, bukan setakat Pesta Bola Merdeka atau pun Piala AFF semua kejohanan berbeza.

"Perasaan sama macam kejohanan lain, sangat teruja untuk tahu pihak lawan bermain macam mana dan boleh tahu kekurangan skuad kebangsaan.

"Dengan itu, kita boleh ambil ilmu baharu untuk skuad kebangsaan beraksi lebih baik dalam setiap kejohanan yang disertai," katanya.

WhatsApp Image 2023-08-31 at 8.18.53 PM

Majlis pelancaran Pesta Bola Merdeka 2023 di AEON Big, Wangsa Maju pada Khamis.

Tambahnya lagi, kesemua pemain sudah bersedia untuk berdepan dengan pasukan ranking bawah 100 dan komited untuk berikan terbaik buat skuad kendalian Kim Pan-gon.

"Alhamdulillah kita dapat pasukan yang ranking lebih tinggi di situ kita boleh dapat satu pengalaman baharu dalam setiap perlawanan yang kita bermain.

"Bukan setakat saya, semua pemain sudah bersedia, sebagai pemain kita perlu bagi lebih komitment dan fokus 100 peratus tak kira pasukan mana pun kita kena lawan.

"Sebagai pemain coach telah beri kepercayaan dan kita sebagai pemain perlu buat yang terbaik dan bagi fokus penuh dalam setiap perlawanan," ujarnya.

WhatsApp Image 2023-08-31 at 8.18.17 PM

Syihan komited berikan yang terbaik bersama Harimau Malaya.

Bercakap mengenai Pesta Bola Merdeka, Syihan berpendapat banyak kelainan yang akan berlaku dalam kejohanan itu selepas kali terakhir dianjurkan pada 2013.

"Semua pemain memang teruja bukan setakat saya sahaja, tetapi semua yang terpilih akan teruja.

"Perbezaannya kita main dekat tempat sendiri, di hadapan penyokong dan kami akan buat yang terbaik.

"Pengalaman saya selama main bola sepak ini, Pesta Bola Merdeka dulu orang cakap memang meriah dan masa itu saya tengok di television sahaja.

"Penyokong satu benda yang saya tak boleh lupakan, harap dengan penganjuran Pesta Bola Merdeka ini penyokong dapat memeriahkan dan sokong pasukan kebangsaan," jelasnya.

Aksi persahabatan menentang Syria dan China di Chengdu, bulan depan akan menjadi ujian sebenar skuad Harimau Malaya untuk tampil lebih baik, sekali gus cuba menempatkan diri dalam kelompok 16 terbaik Asia.

Ia juga pentas terbaik buat Pan-gon membuat penilaian penuh memandangkan Harimau Malaya bakal menghadapi Pestabola Merdeka pada Oktober dan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bermula November depan sebelum bermain di pusingan akhir Piala Asia, Januari tahun depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram