INDUSTRI Liga Malaysia (Liga M) sentiasa diwarnai dengan aksi menarik daripada pemain berbakat yang pastinya lahir daripada pasukan berbeza.
Bukan sahaja pemain tempatan malah bintang import juga sering melakukan aksi-aksi menarik yang pastinya mampu mencuri tumpuan penyokong bola sepak tanah air, apatah lagi jika berasal dari negara yang dianggap kilang pemain bola sepak seperti Brazil.
Melihat kepada prestasi yang membanggakan, pastinya penyokong sentiasa menanti kemunculan mereka beraksi di atas padang.
Namun, ada di antara mereka yang terkandas di tengah jalan susulan gagal mengekalkan prestasi ataupun boleh dikira kurang bernasib baik untuk terus menyinar seperti Jailton Paraiba, Lucas Silva dan Adriano Narcizo.
Susulan perkara itu, pihak pengurusan perlu bertindak lebih awal dengan melupakan DNA Samba bagi memberi peluang kepada import yang lebih berkualiti.
Hal ini kerana, keputusan drastik tersebut adalah untuk membantu pasukan agar mampu memberikan saingan sengit pada musim depan untuk merebut gelaran juara Liga Super.
Jailton Paraiba. — Instagram/jailtonparaiba77
1) Jailton Paraiba
Pemain kesayangan Sabah FC, Jailton Paraiba merupakan import yang menampilkan prestasi cemerlang pada awal musim ini namun terpaksa berehat panjang akibat kecederaan yang dialaminya.
Sering mengalami kecederaan mengakibatkan Jailton mungkin kehilangan kepercayaan untuk musim depan apabila sudah tidak mempunyai kecergasan seperti sebelum ini.
Pemain kelahiran Brazil itu dilihat cemerlang pada awal musim kerana mampu menyumbangkan enam assist kepada Sang Badak namun kecemerlangannya terhenti akibat kecederaan yang dialami.
Berikutan perkara itu, pihak pengurusan Sabah FC perlu mengambil keputusan yang tepat jika ingin merebut gelaran juara pada musim depan dengan membawa masuk import baharu.
Adriano Narcizo. — Agensi
2) Adriano Narcizo
Penyerang import Brazil, Adriano Narcizo dilihat perlu digugurkan daripada skuad Penang FC kerana menampilkan prestasi yang kurang memuaskan musim ini.
Adriano yang sudah diturunkan dalam tiga perlawanan musim ini sebagai pemain tengah yang sedikit tidak sesuai dengannya.
Perkara tersebut sedikit sebanyak merencatkan statistiknya di hadapan pintu gol apabila dia masih memburu jaringan peribadi pertamanya musim ini.
Pemain posisi tengah itu telah diberi kepercayaan oleh pembantu pengendali Harimau Kumbang, Manzoor Azwira untuk bermain hampir kesemua laga musim ini iaitu sebanyak 25 perlawanan namun tidak banyak memberi impak terhadap pasukan.
Musim ini Adriano hanya menjaringkan satu gol tunggalnya ketika menentang Sabah FC dan tiga asisst yang menunjukkan khidmat pemain 29 tahun itu perlu ditamatkan.
Lucas Silva. — Instagram/lslucassilva9
3) Lucas Silva
Belum sempat melakukan sebarang penampilan bersama pasukan baharunya, Sri Pahang FC musim ini, Lucas Espindola da Silva dilaporkan terpaksa berehat panjang akibat kecederaan yang dialaminya.
Bukan itu sahaja, Lucas Silva difahamkan tidak berada dalam perancangan pengendali Tok Gajah, Fandi Ahmad di pusingan kedua Liga Super musim ini.
Hal ini kerana, dia dilihat tidak memberikan impak yang baik untuk pasukan dan hanya memanaskan bangku simpanan sahaja.
Bermain di posisi penyerang namun tidak mampu untuk menjaringkan gol pastinya tidak ada alasan untuk mengekalkan dalam skuad pada musim depan.
Untuk rekod, Lucas hanya diturunkan sebanyak enam kali pada musim ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram