Pestabola Merdeka 2023: FAM jalin kerjasama dengan AEON BiG


  • Podium
  • Khamis, 31 Ogos 2023

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman (kiri) ketika gimik pelancaran kerjasama antara FAM dan AEON BiG.

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) pada Khamis mengumumkan jalinan kerjasama terbaharu bersama syarikat pasar raya terkenal, AEON BiG (M) Sdn. Bhd. selepas sepak mula Pestabola Merdeka 2023 sehingga penghujung 2024.

Kehadiran AEON BiG sebagai rakan penaja pasar raya rasmi FAM dan Harimau Malaya menjelang kempen edisi ke-42 Pestabola Merdeka 2023 yang akan berlangsung pada 13 dan 17 Oktober dilihat sebagai satu kerjasama istimewa buat badan induk bola sepak negara itu.

Pengumuman kerjasama bersama AEON BiG itu dibuat selepas Majlis Pelancaran Pestabola Merdeka 2023 di AEON Big, cawangan Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menyatakan jalinan kerjasama bersama AEON BiG bakal membuka peluang untuk FAM meluaskan lagi jenama Harimau Malaya di seluruh negara.

371098643_1003799074026662_7808417679915995615_n

Hamidin (dua dari kiri) ketika menerima barangan eksklusif daripada wakil AEON BiG. Facebook/FAM

"Usaha untuk membangunkan arena bola sepak adalah usaha yang kolektif membabitkan pelbagai pihak termasuk barisan penaja. Tanpa sokongan daripada mereka, sudah tentu objektif FAM untuk memperkukuhkan sistem bola sepak negara tidak dapat dicapai.

"Mewakili pihak FAM, jutaan terima kasih saya ucapkan kepada pihak AEON BiG di atas kesudian untuk menjadi sebahagian daripada keluarga FAM," katanya.

Skuad negara bakal berdepan India dalam perlawanan pertama Pestabola Merdeka pada 13 Oktober sementara dua lagi pasukan, Palestin dan Lubnan bakal berentap pada perlawanan di sebelah petang.

Pemenang daripada kedua-dua perlawanan itu bakal beraksi di perlawanan akhir pada 17 Oktober dengan kesemua aksi akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Sementara itu, Pengarah Urusan AEON BiG, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed pula berkata, AEON BiG menerusi 21 cawangan yang ada di seluruh negara dijangka dapat menarik minat peminat sukan bola sepak tanah air menyaksikan kejohanan Pestabola Merdeka 2023.

Menurutnya, kerjasama yang terjalin erat antara AEON BiG dan FAM adalah pilihan tepat selaras dengan prestasi mantap yang ditunjukkan pemain pada kojahanan bola sepak pada tahun ini.

“Sukan bola sepak merupakan salah satu sukan yang amat dekat di hati kebanyakan rakyat Malaysia. Kami amat bersyukur kerana mempunyai peluang untuk mendekatkan lagi warga AEON BiG dengan sukan.” jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram