Bolot 2 anugerah dalam seminggu, Haaland bangga dengan pencapaian diri sendiri


  • Podium
  • Jumaat, 01 Sep 2023

Erling Haaland menjadi pemain terbaik peringkat Eropah bagi musim 2022/2023 selepas menjaringkan 52 gol. — Agensi

PENYERANG Manchester City, Erling Haaland mempunyai minggu yang cukup indah buat dirinya sebagai pemain apabila merangkul dua anugerah individu.

Pemain kebangsaan Norway itu memenangi anugerah UEFA Men's Player of the Year bagi musim 2022/2023 pada malam undian peringkat kumpulan bagi saingan UEFA Champions League (UCL).

Sebelum itu, Haaland diangkat sebagai PFA Players' Player of the Year dengan menewaskan rakan sepasukan Kevin de Bryune dan bekas penggempur Tottenham Hotspur iaitu Harry Kane.

Itu adalah untuk peringkat England, bagi tahap Eropah pula Haaland menewaskan Lionel Messi dan De Bryune sekali lagi bagi meraih pengiktirafan tersebut.

Berjaya untuk membolot dua anugerah individu yang cukup berprestij dalam masa seminggu membuatkan Haaland begitu bangga dengan pencapaian diraihnya selepas mempunyai musim sulung yang bersama City.

Haaland-news

Haaland sebelum itu meraih gelaran PFA Players' Player of the Year. — Agensi

Untuk rekod, Haaland merekodkan pencapaian cemerlang dengan menghasilkan 52 gol pada musim pertamanya bersama-sama juara bertahan English Premier League (EPL).

"Saya sedang hidup dalam mimpi. Ini adalah impian saya sejak kecil, jadi apabila berjaya melakukannya bersama-sama rakan sepasukan ia amat istimewa.

"Ia adalah detik yang cukup, cukup, membanggakan untuk saya. Terima kasih!," kata Haaland selepas meraih anugerah tersebut.

Haaland memperoleh undian tertinggi untuk anugerah tersebut dengan penyerang Norway tersebut memperoleh 325 mata. Sebagai perbandingan, Messi meraih 227 manakala De Bryune cuma memperoleh 225.

Dalam kedudukan 10 terbaik, terdapat dua lagi pemain City yang berjaya memasuki senarai. Mereka adalah Ilkay Gundogan (kini bersama Barcelona) yang mendapat 129 mata di tangga keempat dan Rodri memperoleh nombor lima dalam senarai (110 mata).

Selain Haaland, pemain Sepanyol, Aitana Bonmati turut meraih anugerah yang sama untuk kategori wanita selepas persembahannya membantu negaranya memperoleh kejayaan dalam saingan Piala Dunia Wanita baru-baru ini.

Haaland dan City akan mempertahan kejuaraan Eropah yang diraih mereka musim ini dalam saingan UCL. Mereka diundi dalam kumpulan G bersama-sama RB Leipzig (Jerman), Red Star Belgrade (Serbia) dan Young Boys (Switzerland). — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram