SEJAK menyertai pasukan Indonesia, Persib Bandung, Bojan Hodak nampaknya terus terpalit dengan isu kontroversi di negara jiran apabila baru-baru ini beliau difahamkan bertelingkah dengan pengendali pasukan lain.
Menerusi video yang kembali tular baru-baru ini, bekas ketua jurulatih Indonesia itu dilihat sedang bergaduh mulut dengan pengendali jurulatih pasukan Barito Putera, Rahmad Darmawan pada 13 Ogos 2023.
Dalam video berdurasi 42 saat itu, Rahmad dilihat naik angin dengan gerakan tangan tertentu sambil menghampiri bangku simpanan Persib dan dalam masa sama Bojan juga kelihatan bengang dengan pengendali pasukan pelawat itu.
Kekecohan tersebut bagaimanapun dapat ditangani dengan campur tangan pihak pengadil perlawanan dengan cuba memisahkan mereka berdua daripada situasi berkenaan menjadi lebih teruk.
Difahamkan pergaduhan tersebut mula tercetus kerana konflik atas padang yang berlaku antara pertahanan Persib Bandung, Nick Kuipers dan bek tengah Barito Putera, Renan Alves.
Namun kehangatan atas padang itu terbawa-bawa ke tempat duduk jurulatih kedua-dua pasukan sehingga difahamkan pengadil perlawanan memberi kad kuning kepada Rahmad dan pegawai jurulatih Persib Bandung.
Laporan media Indonesia mengatakan, punca pergaduhan makin panas antara kedua-dua jurulatih itu selepas pihak Barito mendakwa pasukan tuan rumah, Persib Bandung dianggap sering membantah keputusan.
Selepas perlawanan itu, Rahmad Darmawan turut memohon maaf di hadapan wartawan pada sidang media sambil menegaskan bahawa dia tidak berniat untuk mencetuskan kontroversi ketika aksi berlangsung.
"Dalam kesempatan ini saya juga ingin memohon maaf atas kejadian yang berlaku. Saya memang tidak bermaksud apa-apa.
"Jadi saya tidak bermaksud apa-apa kecuali mengingatkan anda. Saya mahu jurulatih import datang ke sini untuk memberi pendidikan, sesuatu yang positif untuk kita contohi, jadi contoh. Bukan menjadi konduktor untuk mengawal apa yang kita mahu," katanya.
Terdahulu, Bojan pernah mencetuskan kontroversi apabila melabel peraturan Liga Indonesia seperti ibarat sarkar selepas Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI) mengambil tindakan terhadap tiga tonggak utamanya iaitu Marc Klok, Putu Gede dan Ciro Alves.
Denda itu diberikan kerana kesemua mereka difahamkan berkelakuan tidak sopan terhadap penyokong Persis Solo ketika mereka berentap 8 Ogos lalu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram