Jangan terlalu hormati pasukan lebih kuat — Kim Pan-gon


  • Podium
  • Khamis, 31 Ogos 2023

Sebahagian aksi sesi latihan barisan pemain skuad kebangsaan.

KETUA jurulatih pasukan bola sepak negara, Kim Pan-gon berharap agar anak buah kendaliannya mengetepikan kecenderungan untuk memberi hormat kepada lawan yang lebih kuat mulai sekarang.

Pengendali kelahiran Korea Selatan itu juga menyedari anak buahnya mampu memberikan saingan sengit ketika berdepan lawan seperti Thailand dan Bahrain namun masih gagal mencatat sebarang kemenangan.

“Kami pernah menentang pasukan yang lebih hebat sebelum ini dan perkara positifnya kami bermula dengan baik. Kami berjaya menjaringkan gol terlebih dahulu tetapi saya berasakan pemain tidak yakin dengan diri mereka sendiri selepas mendahului perlawanan.

“Mereka kelihatan seperti tidak selesa apabila menjadi pendahulu perlawanan dan nampaknya sudah terbiasa dengan situasi seperti itu.

"Bukan itu sahaja, apabila pihak lawan membuat serangan balik, mereka terpaksa bergelut dan kehilangan bola sekali gus kalah dalam perlawanan tersebut," kata Pan-gon.

Tambahnya lagi, faktor psikologi, mentaliti dan keyakinan perlu ada dalam setiap diri pemain kerana skuad negara juga berada pada tahap yang sama dengan pasukan lawan.

“Barisan pertahanan juga bagus tetapi berdasarkan statistik, kami sentiasa bolos selepas minit ke-75 menentang pasukan yang kuat. Jadi penting untuk pemain fokus dan mengekalkan tumpuan sehingga tamat permainan,” jelasnya.

Oleh itu, Pan-gon merasakan bahawa perlawanan persahabatan menentang dua pasukan yang berada dalam kelompok 100 terbaik dunia, Syria dan China, akan menentukan paras sebenar kekuatan Harimau Malaya.

Malaysia akan menentang Syria dan China dalam dua perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 di Chengdu, China, masing-masing pada 6 dan 9 September depan.

Pan-gon juga mengatakan bahawa adalah penting bagi pasukan kebangsaan untuk meraih kemenangan dalam perlawanan persahabatan tersebut.

“Kami sudah bekerja keras dan memenangi 16 daripada 21 perlawanan yang kami hadapi tetapi kami jarang mendapat peluang apabila berdepan pasukan seperti Syria dan China.

“Jadi kami mahu melihat sejauh mana peningkatan yang boleh ditunjukkan oleh pemain dan sangat penting untuk persiapan menghadapi kelayakan Piala Dunia pada November dan juga pusingan akhir Piala Asia tahun depan,” katanya.

Pasukan kebangsaan telah mencatat empat kemenangan berturut-turut dalam perlawanan persahabatan antarabangsa yang beraksi di halaman sendiri.

Malaysia menewaskan Turkmenistan 1-0, Hong Kong 2-0 di Johor pada Mac dan menewaskan Kepulauan Solomon 4-1 serta Papua New Guinea 10-0 di Terengganu Jun lalu.

Sementara itu, dua pemain yang dipanggil ke kem latihan Harimau Malaya, Damien Lim dan Hong Wan terpaksa digugurkan akibat isu kecederaan.

Kehilangan Damien Lim akan digantikan dengan penjaga gol Kuala Lumpur (KL) City FC, Azri Ab Ghani sementara pengganti buat Hong Wan masih sedang dicari.

Seramai 26 pemain terlibat dalam kem latihan untuk perlawanan persahabatan antarabangsa menentang China dan Syria akan datang. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram