PASUKAN Kelantan FC diibaratkan seperti ditimpa musibah selepas menjadi mangsa belasahan pasukan Selangor FC dengan keputusan 2-11 dalam aksi Liga Super 2023 yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan pada Jumaat.
Bukan sahaja Selangor FC malah pasukan gergasi tanah air, Johor Darul Takzim (JDT) turut memadam impian The Red Warriors (TRW) untuk layak ke pusingan suku akhir Piala Malaysia dengan keputusan agregat 15-1 pada 19 Ogos lalu.
Bagaimanapun, kekalahan tersebut tidak mempengaruhi emosi penjaga gol Kelantan FC, Johan Shahzidane Tendot Johari Tendot yang turut berkongsikan pandangannya mengenai perkara tersebut.
Penjaga gol Kelantan FC, Johan Shahzidane. — Instagram/jhnshzdn
Baginya, walaupun ditewaskan namun dia sangat teruja dan berasakan ia merupakan peluang untuk menonjolkan bakat dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).
Johan Shahzidane menggalas tanggungjawab sebagai penjaga gol yang ditugaskan oleh Ketua Jurulatih, Alfredo Angel Vera ketika kekalahan 0-10 berdepan JDT dalam aksi Piala Malaysia.
"Perasaan saya sangat teruja dengan peluang yang diberikan walaupun Kelantan FC ditimpa pelbagai masalah tetapi masalah itu telah memberikan saya peluang untuk menonjolkan bakat saya dalam Liga Super.
"Liga Super adalah impian setiap pemain di Malaysia dan saya tak akan sia-siakan peluang ini," katanya kepada Majoriti.
Johan memulakan karier dalam saingan Liga Super bersama skuad TRW ketika berdepan Penang FC pada 8 Julai yang mana dibolosi empat gol.
Tambahnya, walaupun menjadi pasukan belasahan namun ia merupakan satu peluang untuk menonjolkan bakatnya dalam saingan Liga M.
"Sejujurnya tak pernah terfikir yang saya akan dapat peluang macam ni sebab based untuk Kelantan B-23 adalah di Bangi dan team senior di Kelantan jadi peluang untuk naik ke skuad senior adalah tipis kerana mereka susah untuk melihat pemain B-23 training dan bermain.
"Tak seperti team lain yang kebanyakannya memang training berdekatan atau mungkin memang training bersebelahan sahaja, jadi peluang ini amat berharga dan saya akan gunakan sebaik mungkin," kongsinya.
Bercakap mengenai harapan kembali ke JDT, Johan yang juga merupakan anak jati Johor berkongsikan pendapatnya mengenai perkara itu selepas dilihat pernah berlatih bersama skuad belia JDT.
"Insya-ALLAH, kalau diberi peluang, sudah tentu saya akan pergi dan ambil peluang itu sebaik mungkin kerana memang pasukan JDT yang saya minati sejak kecil," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,