Ketahui 3 faktor kenapa peledak import lambat panas sebelum 'meletup' di Liga M


  • Podium
  • Rabu, 30 Ogos 2023

Penyerang import yang datang dari liga luar berkemungkinan mempunyai kesukaran untuk beradaptasi dengan gaya permainan di Liga M. — MFL

LIGA Super 2023 pada musim ini terus dimeriahkan dengan kehadiran penyerang import yang menjadi tulang belakang kepada sumbangan gol bagi setiap kelab yang bersaing.

Ini terbukti apabila daripada 10 senarai penjaring terbanyak, sembilan daripadanya adalah pemain import.

Antara yang menjadi tumpuan pada musim ini pastinya membabitkan rekrut baharu seperti Ayron Del Valle dari Selangor FC, Ivan Mamut (Terengganu FC) dan Willian Lira Sousa (Kedah Darul Aman FC).

Sementara itu, untuk di pertengahan musim pula, turut terdapat pengambilan penyerang baharu antaranya Heberty Fernandes yang menyertai Johor Darul Takzim (JDT) dan Richmond Boakye (Selangor FC).

Bagaimanapun, tidak semua penyerang import yang baru ditandatangani itu dapat terus mempamerkan potensi sebenar mereka sebaik membuat debut bersama kelab baharu dalam kancah Liga Malaysia (Liga M).

Ini kerana ada antaranya dilihat mengambil masa sebelum benar-benar panas dan seterusnya memberikan sumbangan terbaik buat pasukan.

Berikut Majoriti senaraikan tiga faktor yang menyebabkan penyerang import mengambil sedikit masa sebelum dapat mempamerkan prestasi sebenar dalam Liga M:

1. Perbezaan gaya permainan liga luar

370385962_779113627553701_4925317393726678413_n

Selepas 21 perlawanan, Ayron kini berada di takhta penjaring terbanyak Liga Super 2023. — Selangor FC

Setiap liga bola sepak di seluruh dunia sememangnya mempunyai keunikan dan perbezaan yang tersendiri.

Malah perbezaan daripada segi gaya permainan itu bukan sahaja boleh dilihat antara benua, tetapi juga membabitkan liga di negara yang berada satu benua sama.

Sebagai contoh, di peringkat Eropah, tidak semua pemain yang berjaya di Liga Itali dapat menunjukkan tahap persembahan yang sama apabila berhijrah ke Liga Perdana Inggeris di England.

Disebabkan itu, setiap pemain yang datang daripada liga luar pastinya memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan Liga M.

Situasi sama juga dilihat dihadapi Ayron yang beraksi sebelum ini beraksi di Liga Colombia yang terletak di benua Amerika Selatan.

Pada awal musim, dia menjadi sasaran kritikan penyokong yang tidak yakin dengan gaya persembahan dipamerkan pemain berusia 34 tahun itu khususnya dalam lima perlawanan pertama.

Bagaimanapun, selepas mengharungi 21 perlawanan, Ayron kini berada di takhta carta penjaring terbanyak Liga Super dengan 21 gol.

2. Pasukan sedang lalui proses pembinaan semula

370522095_282819724459469_4909653321989871641_n

Mamut ketika sesi latihan bersama Terengganu FC. — Terengganu FC

Dalam pada itu, penyerang import baharu juga dilihat berkemungkinan menghadapi kesukaran sekiranya mereka menyertai kelab bola sepak yang baru berada di fasa pembinaan semula pasukan.

Kesukaran ini dapat dilihat jelas berlaku terhadap penyerang import pasukan seperti Kedah Darul Aman(KDA) FC dan Terengganu FC.

Seperti yang diketahui, kedua-dua pasukan ini melalui rombakan besar-besaran apabila bertindak bukan sahaja menukar jurulatih tetapi barisan pemain.

Dalam hal ini, Mamut dilihat lebih bernasib baik berbanding Lira yang terpaksa meninggalkan KDA FC meskipun mula menunjukkan keupayaannya di akhir tempohnya bersama skuad Sang Kenari.

Sepanjang 15 perlawanan bersama KDA FC, pemain kelahiran Brazil itu berjaya menyumbat 8 jaringan.

Bagi Mamut, dia mendapat kritikan hebat daripada penyokong TFC apabila gagal menjaringkan gol dalam empat perlawanan pertama.

Malah pemain kelahiran Croatia ini juga gagal menempatkan diri ke dalam skuad perlawanan sebanyak dua kali daripada enam perlawanan pertama.

Namun, Mamut kemudiannya dilihat kembali mendapat rentak pada pusingan kedua liga dan seterusnya meletakkan dirinya dalam kelompok lima teratas di carta penjaring terbanyak dengan 10 gol.

3. Faktor perbezaan bahasa

370521266_310114018235647_2857745594883548209_n

Faktor bahasa merupakan antara aspek penting yang membantu seseorang pemain import menyesuaikan diri bersama pasukan. — Perak FC

Sementara itu, faktor bahasa juga boleh menjadi penghalang utama yang menyebabkan seseorang penyerang berhadapan kesukaran menunjukkan prestasi sebenar.

Ini kerana halangan bahasa menyebabkan mereka gagal untuk memahami dengan jelas kehendak bukan sahaja jurulatih, tetapi juga rakan pasukan lain yang beraksi bersama-sama di dalam padang.

Masalah ini lazimnya berlaku membabitkan pemain yang datang dari negara yang bahasa utamanya bukan bahasa Melayu atau Inggeris seperti dari benua Amerika Selatan mahupun Afrika.

Masalah ini akan menjadi lebih rumit untuk diselesaikan sekiranya pemain itu tidak fasih berbahasa Inggeris sementara pasukan tersebut pula kurang mengambil pemain import lain yang boleh bertutur bahasa yang sama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram