KEMELUT dalaman dihadapi skuad The Red Warriors (TRW) pada musim ini seakan-akan tiada penghujungnya apabila pasukan itu masih belum mempamerkan sebarang peningkatan dalam saingan Liga Super sejak permulaan kempen 2023.
Kekal di tangga kedua tercorot liga, masa depan Kelantan semakin pudar dengan pasukan itu kerap menerima kritikan dari segi pengurusan mahupun prestasi pemain yang seperti hilang arah ketika di atas padang.
Desakan beberapa pihak untuk pemiliknya, Norizam Tukiman ataupun Zamsaham segera melepaskan kelab itu ke tangan pengurusan lain masih tiada jawapan hingga ke hari ini.
Meskipun pernah dikaitkan dengan beberapa nama besar dalam industri, Zamsaham masih belum mengemukakan sebarang maklumat berkaitan urusan pindah milik pasukan tersebut yang sekali gus mencetuskan bualan hangat dalam kalangan peminat.
Suka ataupun tidak, berikut merupakan tiga faktor utama yang diberikan peminat TRW supaya Zamsaham perlu melepaskan pasukan Kelantan dengan segera:
1. Pulih imej Zamsaham
Kredibiliti Zamsaham selaku pemilik pasukan Kelantan kian merosot dengan pandangan masyarakat serta penyokong pada masa kini seperti sudah tawar hati dengan segala janji palsu diberikan.
Bermula dengan isu gaji pemain hingga ke masalah penerimaan baju jersi peminat, ia sama sekali tidak menjanjikan sebarang perubahan malah prestasi TRW semakin merudum.
Norizam Tukiman digesa segera melepaskan Kelantan pada pemilik lain. — Facebook/KelantanFC
Meskipun pembabitan awalnya bersama Kelantan pada 2020 mendapat sokongan ramai, namun ia tidak berkekalan yang menyaksikan sepanjang tiga musim beliau mengendalikan TRW, tiada satu piala yang dapat dibawa pulang sebagai bukti dan membalas jasa peminatnya.
Justeru, sebagai langkah selamat yang mampu membersihkan nama baiknya, Zamsaham perlu melepaskan Kelantan dengan cara baik sebelum keadaan bertukar lebih keruh yang mungkin akan menyebabkan imejnya sentiasa diingati selaku pemilik paling gagal di Kelantan.
2. Masa depan pemain
Kelantan pada musim ini membariskan ramai pemain-pemain muda yang ditonjolkan dalam kesebelasan utama permainan.
Meletakkan sandaran terhadap pemain tempatan, ia sekali gus membuka mata ramai terhadap bakat serta potensi dimiliki anak jati Kelantan.
Namun, perkembangan itu dilihat akan terjejas dek kerana kegagalan pengurusan dalam merancang masa depan pasukan terbabit untuk tempoh jangka masa panjang.
Beberapa bakat muda seperti Ikhwan Yazek dan Fazrul Amir Zaman antara yang menjadi sandaran penonton untuk melihat kedua-duanya terus menyinar bersama Kelantan.
Ikhwan Yazek antara pelapis muda berpotensi dimiliki Kelantan. — Facebook/KelantanFC
Walau bagaimanapun, melihatkan kekalahan demi kekalahan dialami pasukan ketika ini, ia pastinya akan membantutkan perkembangan serta peningkatan pemain-pemain tersebut.
Tekanan pastinya akan dirasai oleh barisan pemain yang sekali gus boleh menghancurkan masa depan mereka sekiranya tiada perubahan dilakukan oleh pengurusan.
Malah lebih teruk, kelab-kelab lain juga mungkin tidak berminat untuk mendapatkan khidmat pemain Kelantan sekiranya percaturan pasukan tersebut terus merudum yang akan memberi kesan kepada corak permainan pemain tersebut.
3. Pasukan terburuk dalam sejarah
Kekalahan memalukan di tangan Selangor baru-baru ini cukup untuk membuktikan betapa TRW kini menjadi mangsa 'kerakusan' pasukan liga tempatan.
Dibelasan teruk 2-11 di hadapan penyokong sendiri, menyaksikan Kelantan mencatatkan rekod bola terburuk apabila bolos 87 jaringan sepanjang 21 perlawanan setakat ini.
Untuk rekod, keputusan itu menyaksikan rekod bolos terbesar ketiga TRW selepas tewas 0-8 kepada Terengganu (14 Ogos 2023) dan 0-10 menentang Johor Darul TaKzim (JDT) pada 19 Ogos lalu dalam saingan Liga Malaysia.
Ia sekali gus menjadi detik hitam buat penyokong yang nyata kecewa dan marah dengan keputusan memalukan tersebut.
Penyokong membentuk formasi emoji sedih di tempat duduk penonton di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, Kelantan. — Buletin Utama
Justeru, Kelantan memerlukan suntikan moral serta air tangan baharu daripada pengurusan lain sebelum pasukan itu terus hancur dalam kelompok bawahan liga musim ini.
Akibatnya, masa depan pasukan Pantai Timur itu pada musim akan datang juga akan turut terjejas dengan pandangan pemain serta jurulatih dari luar negara akan disajikan dengan rekod buruk Kelantan sepanjang berada di bawah pimpinan Zamsaham. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram