PERSIAPAN demi persiapan sedang dilakukan ketua jurulatih skuad negara, Kim Pan-gon bagi menghadapi Piala Asia yang bakal diadakan di Qatar pada awal tahun depan.
Kehadiran Harimau Malaya dalam kejohanan itu pastinya cukup dinanti-nantikan memandangkan ia merupakan penampilan pertama pasukan kebangsaan sejak 2007.
Selain itu, cabaran besar bakal dihadapi pasukan negara apabila mereka diundi di samping Korea Selatan, Jordan serta Bahrain dalam Kumpulan E.
Jadi, untuk memastikan pemain yang bakal dibawa mempunyai kebolehan untuk beraksi di tahap terbaik sepanjang kejohanan supaya skuad negara mampu menamatkan saingan di tahap lebih baik.
Antara persiapan yang sedang giat dilakukan adalah dengan mengadakan beberapa perlawanan persahabatan kompetitif setiap kali aksi di peringkat antarabangsa membuka laluan.
Pan-gon masih sedang sibuk untuk mencari ramuan terbaik terhadap pasukannya. — Facebook/FAM
Berdasarkan jadual semasa, pasukan kebangsaan bakal berdepan dua negara Asia, iaitu China dan Syria dalam Perlawanan Antarabangsa Tier 1 di Chengdu, China.
Melihat kepada pemain yang dipanggil Pan-gon untuk ke kem latihan, terdapat beberapa wajah baharu diberikan peluang dengan pengendali kelahiran Korea Selatan itu seperti mahu mencuba pendekatan baharu.
Namun, baru-baru ini, hasratnya sedikit terbantut apabila dua pemain, Damien Lim serta Hong Wan terpaksa disisihkan akibat kecederaan yang dialami.
Bagi posisi Damien Lim, Pan-gon bertindak untuk memanggil penjaga gawang Kuala Lumpur (KL) City FC, Azri Ghani sementara masih tiada calon dipilih untuk mengisi kekosongan Hong Wan.
Persoalan pastinya timbul mengenai kesukaran kedua-dua pemain tersebut untuk menembusi skuad negara meskipun sudah cemerlang bersama pasukan masing-masing.
Berdasarkan pemerhatian Majoriti, terdapat tiga sebab utama buat Damien Lim dan Hong Wan kerap disisihkan daripada Harimau Malaya sehingga perkara itu menimbulkan persoalan:
Hong Wan
1. Percubaan taktikal baharu Pan-gon
Melihat kepada perlawanan Harimau Malaya sepanjang berada di bawah kendalian Pan-gon, terdapat kecenderungan bahwa akan berlakunya perubahan melihat kepada lawan yang akan mereka hadapi.
Sekiranya pasukan negara bakal berdepan pasukan lebih mencabar, mereka akan meletakkan dua pemain tengah bertahan, seperti ketika kempen Piala AFF awal tahun lalu.
Namun, sekiranya mereka bertemu negara yang berada dalam ranking FIFA lebih rendah, terdapat kemungkinan jurulatih kelahiran Korea Selatan itu menggunakan pemain tengah dengan peranan menyerang.
Kecemerlangan Hong Wan bersama JDT tidak perlu dipersoalkan lagi. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Situasi itu sedikit sebanyak menyekat kesesuaian Hong Wan dalam pasukan negara, lebih-lebih lagi dengan skuad Harimau Malaya lebih berminat untuk berdepan negara lebih kecil.
Meskipun keputusan tersebut sering dipertikaikan, ia memberi kelebihan tersendiri memandangkan pasukan kebangsaan ketika ini berada dalam kedudukan lebih baik.
Jadi, ia merupakan salah satu punca utama di sebalik kesukaran pemain tengah JDT itu untuk dipanggil dengan lebih kerap sehingga dia masih belum memperolehi kaps kebangsaan sehingga hari ini.
2. Lambakan pemain naturalisasi
Tidak boleh dinafikan bahawa kehadiran pemain naturalisasi terus memberikan impak tersendiri dalam pasukan negara, baik dari segi serangan mahupun pertahanan.
Lee Tuck, Endrick dos Santos serta Paulo Josue merupakan antara mereka yang sering dipanggil Pan-gon untuk menyarung jersi Harimau Malaya sejak memperolehi status kewarganegaraan.
Cabaran itu semestinya sukar untuk dihadapi Hong Wan meskipun dia hadir ke landskap bola sepak negara dengan status pemain warisan selepas menimba pengalaman di luar negara.
Perkara tersebut bukanlah sesuatu yang mudah untuk dihadapi jeneral tengah berusia 23 tahun berkenaan memandangkan khidmat ditaburkan pemain naturalisasi cukup penting hari ini.
Sekiranya Hong Wan mahu dipanggil dengan lebih kerap untuk pasukan negara, salah satu solusi terbaik yang boleh diambil adalah dengan mencari kepelbagaian dari segi corak permainannya.
Namun, sekiranya trend untuk membawa masuk pemain naturalisasi diteruskan untuk beberapa tahun lagi, Hong Wan hanya perlu bersabar sehingga peluang lebih besar terhidang buatnya.
3. Jadual padat bersama JDT
Musim lalu, Hong Wan tidak boleh dianggap sebagai tonggak utama skuad Harimau Selatan memandangkan pihak kejurulatihan cenderung untuk meletakkan Natxo Insa di posisi itu.
Tetapi, memandangkan Natxo sudah berusia 37 tahun, pengendali JDT, Esteban Solari perlu meletakkan kepercayaan penuh terhadap pemain kelahiran Croydon, England itu untuk membaca gerakan pihak lawan.
Usia lanjut Natxo memaksa Hong Wan turun dengan lebih kerap. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Berdasarkan statistik musim ini, Hong Wan beraksi dalam kesemua 21 perlawanan Liga Super dengan 12 daripadanya dia bermain sepanjang 90 minit permainan.
Situasi itu dikeruhkan lagi dengan jadual skuad Harimau Selatan yang dijangka akan menjadi lebih padat dengan mereka bakal beraksi dalam Liga Juara-juara AFC (ACL) pada 19 September akan datang.
Jika Hong Wan beraksi dengan terlalu kerap, terdapat kemungkinan kariernya akan diwarnai isu kecederaan, lebih-lebih lagi menjelang penghujungnya kelak.
Oleh itu, terdapat kemungkinan Pan-gon memilih untuk mencari alternatif lain atau mencuba pendekatan taktikal tanpa meletakkan Hong Wan sebagai komponen utama.
Damien Lim
1. Lambakan penjaga gol muda berpotensi
Berdasarkan beberapa panggilan kebangsaan kebelakangan ini, Pan-gon seperti masih belum membuat keputusan muktamad mengenai posisi penjaga gol ketiga.
Ketika kempen Piala AFF yang lalu, pemain muda Terengganu FC, Rahadiazli Rahalim diberikan kepercayaan untuk mengisi slot itu dengan Syihan Hazmi dan Kalamullah Al-Hafiz berada dalam pasukan utama.
Tetapi, ketika dua persahabatan antarabangsa yang lalu, kebuntuan barisan kejurulatihan bertambah apabila mereka memanggil Damien Lim serta seorang lagi penjaga gol muda tempatan, Sikh Izhan Nazrel.
Rahadiazli (kanan) kerap diberikan peluang beraksi dalam kem skuad kebangsaan. — Facebook/FAM
Situasi itu seolah-olah menceritakan bahawa terdapat tentangan hebat untuk Damien Lim kekal bersama skuad kebangsaan apabila semakin ramai nama-nama berpotensi untuk posisi itu.
Bagaimanapun, melihat kepada prestasi pemain berusia 26 tahun itu bersama Sabah FC, terdapat kemungkinan besar untuknya dipanggil berbanding alternatif lain.
Meskipun statistiknya tidaklah begitu memberangsangkan, persembahannya yang cekap serta komunikasi bersama rakan sepasukan merupakan salah satu aset terbesarnya ketika ini.
2. Kerapuhan benteng pertahanan Sabah FC
Seperti mana disebutkan di atas, statistik Damien Lim tidaklah begitu memuaskan apabila dia hanya mencatatkan satu perlawanan tanpa bolos dalam 12 penampilan Liga Super.
Perkara itu bukanlah kayu ukur terbaik untuk menilai kebolehan penjaga gol kelahiran Selangor itu secara keseluruhan, lebih-lebih lagi dengan ketangkasannya sering diberikan pujian.
Di samping itu, terdapat juga kemungkinan Damien Lim jarang diberikan peluang bersama pasukan kebangsaan melihat kepada jumlah gol yang dilepaskan Sabah FC musim ini.
Selepas 22 perlawanan Liga Super, pasukan Borneo itu sudah dibolosi sebanyak 33 kali yang mana ia merupakan catatan kurang cemerlang jika hendak dibandingkan dengan kelab-kelab dalam lima kelompok teratas.
Jika Sabah FC mampu menambah baik statistik itu untuk baki perlawanan Liga Super serta saingan dalam Piala AFC, terdapat kemungkinan Damien Lim akan dipanggil dengan lebih kerap.
3. Penggiliran penjaga gol Sabah FC yang kerap
Sekiranya pemerhatian dibuat terhadap pendekatan Datuk Ong Kim Swee bersama Sabah FC, terdapat kecenderungan bahawa penggiliran pemain akan dibuat, termasuk untuk posisi penjaga gol.
Berdasarkan rekod musim ini, skuad Sang Badak menggunakan khidmat Damien Lim dalam 12 perlawanan sementara baki daripadanya diisi penjaga gawang senior, Khairul Fahmi Che Mat.
Khairul Fahmi mengumpul 10 penampilan Liga Super bersama skuad Sang Badak musim ini. — Facebook/Sabah FC
Hal itu sedikit sebanyak memberi kesan terhadap penilaian Pan-gon terhadap Damien Lim memandangkan dia perlu memastikan pemain yang dipanggilnya mampu beraksi dengan baik setiap kali diberikan peluang.
Selain itu, penggiliran itu juga menyaksikan Khairul Fahmi lebih kerap menampilkan aksi cemerlang, termasuk ketika Sabah FC meraih kemenangan ketika berdepan Selangor FC.
Ia pastinya akan memberi kesan terhadap pandangan barisan kejurulatihan skuad kebangsaan yang akan berpendapat Damien Lim masih belum bersedia untuk dipanggil dengan lebih kerap. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram