APABILA mengira peluang Kedah Darul Aman (KDA) FC untuk cuba mengejar Selangor FC bagi kedudukan kedua Liga Super, mereka masih ada peluang untuk memintas Gergasi Merah.
Walaupun ketinggalan lima mata di belakang Gergasi Merah, KDA FC sebenarnya masih ada peluang untuk mengesahkan tempat ke kejohanan Asia musim hadapan tetapi dengan satu syarat.
Menurut bekas jurulatih KDA FC, Azraai Khor Abdullah, Sang Kenari wajib menang baki lima perlawanan untuk menghidupkan peluang menjadi naib johan Liga Super.
Selepas berjaya merangkul 15 mata maksima, adalah perlu untuk KDA FC mengharapkan Selangor FC keciciran mata bagi memastikan misi 'potong tang kona' mereka berhasil.
Azraai membawah KDA FC meraih gelaran double treble satu ketika dahulu. — Agensi
"Peluang itu masih ada, tiada yang mustahil. Yang penting, perlu konsisten. Hal ini kerana, skuad KDA ada masanya akan keciciran mata ketika bertemu pasukan yang tak dijangka.
"Mereka masih lagi ada peluang untuk layak ke saingan Piala AFC. KDA FC perlu yakin (dengan diri sendiri). Selangor FC juga boleh keciciran mata, mereka juga boleh kalah," kata Azraai kepada Majoriti.
Menurut Azraai, penyokong seharusnya berasa yakin dengan kemampuan Nafuzi Zain dalam memastikan misi memintas Selangor FC ini berhasil.
Katanya, Nafuzi adalah jurulatih berkualiti tinggi dan itu terbukti apabila dia menjadi satu-satunya pengendali Liga Super yang berjaya mencuri mata daripada pendahulu liga iaitu Johor Darul Takzim.
Ifedayo Olusegun boleh menjadi watak utama kejayaan KDA FC memintas Selangor FC. — Facebook/Kedah Darul Aman
"(Saya yakin) Nafuzi tahu apa nak dibuat. Di Terengganu FC pun dia sudah buktikan (kebolehannya). Jangan nafikan kekuatan Nafuzi sebagai jurulatih, dia mesti ada percaturan ampuh untuk digunakan," ulas Azraai.
Ketika ditanya mengenai perlawanan menentang Selangor FC di Alor Star pada 2 Disember sebagai penentu segalanya, Azraai menafikan perkara itu.
Pada hematnya, KDA FC perlu mengambil berat setiap perlawanan untuk memastikan kesemua mata berjaya diraih sambil mengharapkan Gergasi Merah tersungkur.
"Bukan perlawanan Selangor FC itu saja (yang penting). Kesemua lima perlawanan ada kepentingannya jadi perlu dapatkan keputusan (positif).
"Sambil itu perlu mengharapkan Selangor FC keciciran mata kerana dalam bola sepak ini faktor nasib juga memainkan peranan," ujar Azraai.
Baki lima aksi KDA FC dalam saingan Liga Super musim ini adalah bertemu Kuala Lumpur City FC, Negeri Sembilan FC, Kelantan FC, Selangor FC dan Sabah FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram