KEGAGALAN skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara untuk mempamerkan aksi lebih baik dalam saingan Piala AFF B-23 baru-baru ini mengundang kecaman daripada penyokong bola sepak tanah air.
Selain gagal memberikan persembahan cemerlang, kesungguhan pemain muda kebangsaan turut dipersoalkan melihat kepada motivasi mereka sepanjang 90 minit permainan.
Bagaimanapun, bagi bek sayap berusia 22 tahun, V Ruventhiran, kritikan yang diberikan tidak ditolak secara mentah-mentah pemain dan staf kejurulatihan memandangkan mereka sudah menyasarkan slot dalam peringkat akhir.
"Kami sememangnya kurang berpuas hati kerana kami mahu menamatkan saingan di final. Tetapi, dari segi persembahan, kami tahu bahawa terdapatnya perubahan positif dari segi permainan.
"Kami terbuka dengan kritikan kerana orang ramai meletakkan harapan tinggi setiap kali kami menyarung jersi kebangsaan," katanya.
Ruventhiran (tengah) merupakan antara tonggak utama skuad B-23 negara. — Facebook/FAM
Dalam kejohanan Piala AFF B-23 yang lalu, skuad negara menamatkan saingan di peringkat separuh akhir selepas disingkirkan Vietnam dengan keputusan 1-4.
Mereka kemudiannya sekali lagi dikecewakan di perlawanan penentuan tempat ketiga apabila tewas dalam penentuan sepakan penalti kepada Thailand.
Tambah bek kiri Selangor FC itu, tekanan yang dirasakan pemain muda sepanjang kejohanan berlangsung memberi ruang untuk mereka mengumpul lebih banyak pengalaman dengan mempelajari daripada kesilapan dilakukan.
"Secara berpasukan, saya dapat rasakan kami banyak menerima ilmu baharu. Hubungan baik antara pemain sudah semakin baik selain pemain baharu yang menyertai kem latihan mudah menyesuaikan diri.
"Untuk setiap perlawanan, terdapat sekurang-kurangnya empat atau lima wajah-wajah baharu. Saya teruja kerana tempat kami tidak terjamin dalam kesebelasan utama," katanya.
Selepas ini, skuad B-23 negara akan beraksi dalam kempen kelayakan Piala Asia B-23 yang bakal diadakan di Thailand bermula 6 sehingga 12 September.
Pasukan kendalian E Elavarasan itu bakal bertemu Thailand, Bangladesh dan Filipina dengan semua perlawanan bakal diadakan di Chonburi, Thailand. — The Star/T AVINESHWARAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram