KEDAH Darul Aman FC (KDA FC) menangguhkan hasrat Johor Darul Takzim (JDT) untuk bergelar juara Liga Super musim ini apabila terikat seri 3-3 pada aksi Liga Super ke-21 di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Sabtu.
Skuad Harimau Selatan yang mengidam sambutan kejuaraan lebih awal untuk melakar sejarah 'Perfect 10' dengan menjuarai Liga Super kali ke-10 berturut-turut terpaksa menunggu sedikit masa lagi apabila mengumpul 61 mata selepas mengharungi 21 perlawanan liga musim ini.
Antara watak cemerlang ketika mengikat JDT selain daripada tiga penjaring Kedah ialah Manuel Hidalgo yang mana secara tidak langsung mula memikat hati penyokong Harimau Selatan.
Malahan pemain berusia 24 tahun itu tiba-tiba hangat menjadi topik bualan peyokong Harimau Selatan yang mahu melihatnya menyarung jersi berwarna biru dan merah musim depan.
Ia sekali gus bakal meninggalkan kesan besar terhadap penyokong Sang Kenari jika Hidalgo memilih untuk berkelana ke pasukan selatan tanah air itu.
Sekiranya perkara itu berlaku, Majoriti senaraikan tiga pemain yang boleh mengisi kekosongan ditinggalkan Hidalgo:
Maxime sudah menjaringkan 25 gol untuk Lion City Sailors musim ini. — Facebook/Lion City Sailors
1. Maxime Lestienne
Musim ini, Maxime Lestienne membuktikan statusnya sebagai pemain bintang Eropah apabila berjaya menjaringkan 25 gol dan 22 assist dalam 23 perlawanan Liga Singapura 2023.
Ini sekali gus menunjukkan perbezaan kualiti yang amat ketara antara Maxime dengan Liga Singapura yang mana rata-rata pemain masih di bawah par.
Pemain kelahiran Belgium ini juga boleh beroperasi sebagai sayap kiri sertakanan dan turut mempunyai kemampuan bermain sebagai penyerang tunggal kerana memiliki larian yang pantas.
Bersama Lion City Sailors, Maxime sudah pun menjaringkan 41 gol serta 50 assist dalam kesemua kejohanan antarabangsa dan domestik sejak menyertai pasukan itu pada 2022.
Patito pernah beraksi bersama Neymar di Santos pada 2013/14. — Facebook/Bolivar
2. Pato Rodriguez
Penyokong Johor Darul Takzim (JDT) pastinya mengenali pemain sayap kelahiran Argentina yang pernah berbakti untuk Harimau Selatan pada musim 2015.
Pato Rodriguez atau lebih dikenali sebagai Patito dalam kalangan penyokong mempunyai permulaan yang baik bersama Harimau Selatan dengan corak permainan dipamerkannya.
Untuk info, pemain berusia 33 tahun itu juga pernah beraksi bersama pemain bintang Al-Hilal, Neymar JR ketika mewakili kelab Brazil, Santos pada 2013/14.
Mempunyai skil individu yang tinggi Patito antara pemain yang sesuai menggantikan Hidalgo di Kedah kerana corak permainan yang seakan-akan sama pemain berusia 24 tahun itu.
Sebelum beraksi bersama kelab Bolivia, Bolivar, Patito terlebih dahulu mewakili beberapa pasukan seperti Independiente, Estudiantes (Argentina), AEK Athens (Greece), Newcastle Jets (Australia) dan Moreirense (Portugal) sebelum berkelana ke Bolivia.
Alves mempunyai rekod jaringan yang baik dalam Liga Indonesia. — Facebook/Persib Bandung
3. Ciro Alves
Musim ini, bekas pemain Brazil B-20 bermula indah apabila menjaringkan empat gol dan dua assist dalam lapan perlawanan Liga Indonesia bersama Persib Bandung.
Ciro Alves, seorang pemain sayap kanan yang sangat lincah ketika membawa bola ketika melancarkan serangan ke kubu pertahanan lawan turut menjadi calon sesuai buat pengganti Hidalgo.
Tahun kedua bersama Persib, Alves sudah menjaringkan 15 gol dan melakukan tujuh assist sejak mewakili pasukan itu daripada Persikabo 1973 pada tahun lalu.
Musim terbaik pemain berusia 34 tahun itu ialah ketika bersama Persikabo 1973 apabila dia menjaringkan 37 gol dalam 74 penampilan sekali gus menarik minat pengurusan Persib untuk membawanya ke Kota Bandung.
Kaya dengan pengalaman dengan beraksi di Liga Brazil, Liga Uruguay, Liga Thailand dan Korea Selatan ia menunjukkan Alves seorang pemain yang sudah didedahkan dengan pelbagai budaya dan corak permainan bola sepak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram