PENYERANG muda meningkat naik Terengganu FC (TFC), Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob kini semakin menjadi buah mulut dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan di atas prestasinya yang semakin memberangsangkan pada ketika ini.
Manakan tidak, baru berusia 24 tahun, dia mempamerkan prestasi yang cemerlang dalam skuad kendalian Tomislav Steinbruckner.
Jika melihat kepada prestasinya ketika ini, anak jati kelahiran Terengganu itu kerap diturunkan dalam kesebelasan utama.
Sepanjang 15 perlawanan aksi Liga super, ubi muda itu berjaya meledakkan empat gol dan lima assist setakat ini.
Malah, ketika aksi Piala Malaysia skuad Sang Penyu menentang KL Rovers pada awal Ogos lalu, penyerang muda itu turut menyumbang satu gol sekali gus meletakkan Terengganu dalam keadaan selesa dan menang mudah 3-0.
Engku Shakir mempamerkan prestasi yang cemerlang dalam skuad Sang Penyu. — Facebook/TFC
Sehubungan itu, melihat kepada persembahannya itu, tidak mustahil dia mendapat tumpuan pemerhati sukan tempatan, Analisis Bola Tranung apabila pemain itu kini dalam senarai menunggu Harimau Muda.
"Daripada gelaran 'Lord' kepada senarai menunggu Harimau Malaya," tulisnya.
Pemerhati sukan tersebut melihat menyifatkan nasib pemain yang lebih dikenali sebagai Engku Nur Shakir berubah sepenuhnya selepas dia tersenarai dalam pemain muda kebangsaan.
"Dunia itu seperti berpusing 360 darjah buat Engku Shakir. Daripada diherdik dan dikeji kepada disayangi dan dipuji peminat TFC.
"Musim ini merupakan musim terbaik untuk pemain yang berasal dari Besut, Terengganu ini.
Sepanjang 15 perlawanan aksi Liga super, Engku Shakir berjaya meledakkan empat gol dan lima assist setakat ini. — Facebook/TFC
Minit permainan yang diberikan padanya telah membuatkan pemain ini kian matang dalam permainan.
"Tidak dinafikan juga faktor perubahan posisi dan peranannya mengubah Engku Shakir yang dulu kepada hari ini," katanya.
Tambahnya lagi, pemain yang pernah tercalon dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2020 (ABK) itu membuktikan kerja keras tidak akan mengkhianati hasil.
"Ada pemain yang berdiri dengan bakat melebihi kerja keras, namun Shakir mungkin seorang pemain yang mengasah bakatnya melalui kerja keras di atas padang dan semasa latihan.
"Perjalanan kariernya tidak berganjak secara drastik, tidak seperti Azam Azmi mahupun Syafik Ismail yang terus melompat dari TFC IV ke TFC.
Engku Shakir pernah tercalon dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2020 (ABK). — Facebook/TFC
"Dia mengorak langkah satu persatu tangga untuk mencapai ke tahap hari ini. Ini yang lebih membuatkan pemain ini tidak menongkah langit dengan prestasinya hari ini," katanya.
Menurutnya lagi, walaupun Engku Shakir masih belum mencapai tahap yang terbaik, tetapi kemajuan itu sudah menunjukkan hasilnya.
"Engku Shakir bermula dari Piala Presiden, Liga Perdana dan kini barulah Liga Super. Dari Liga Perdana itu, sudah tentulah aksinya dianalisis dengan rapi untuk dipromosikan ke pasukan TFC di Liga Super.
"Sebagaimana ramai pemain TFC II yang sudah hilang dari radar kancah bola sepak professional, namun Engku Shakir masih mengekalkan dirinya dalam medan perjuangan ini berkat usaha kerasnya yang mungkin kita tidak ketahui.
"Mungkin kritikan sebelum ini dibakar menjadi api semangat untuk beliau terus berusaha mencapai apa yang diidamkannya.
"Di TFC III beliau banyak bermain sebagai no 10 dan juga penyerang sayap, manakala di TFC II beliau pernah ditugaskan sebagai no 9. Di posisi inilah yang telah membuatkan namanya tercalon dalam ABK2020.
"Rekod jaringannya juga tidak mengecewakan di TFC II. Ia bukan soal jaringan semata mata, namun peranannya yang menghidupkan posisi no 9 itu lebih besar," katanya.
Engku Shakir kerap diturunkan dalam kesebelasan utama skuad Sang Penyu. — Facebook/TFC
Mengimbau prestasi pemain tersebut bersama bekas jurulatih Nafuzi Zain, pemerhati sukan itu berkata, Engku Shakir banyak bermain di posisi sayap.
"Namun hari ini setelah melalui beberapa transformasi posisi, ia seperti sudah menjumpai apa yang terbaik yang boleh mengeluarkan bakatnya secara lebih optimum. Jawapannya di posisi no 10.
"Kredit kepada Tomi yang membawa perubahan kepada Engku Shakir sehingga mencapai prestasi yang boleh dibanggakan ini. Tetapi ini masih bukan lagi kemuncak, senarai menunggu Harimau Malaya bukanlah idaman hakiki seorang pemain bola sepak.
Pencapaian yang sangat dikehendaki oleh pemain yang bukan lahir bersandarkan bakat ini adalah memperoleh kap pertama untuk Harimau Malaya. Pemain yang sudah hebat semenjak bawah umur itu cerita lain.
Seorang penyokong, Tinta Abadi juga bersetuju kerana beranggapan Engku Nur Syakir semakin matang dalam permainan selain sentiasa terlibat dengan gerakan ke arah gol.
"Malahan dia juga turut tersenarai dalam senarai penjaring di samping assist yang baik juga. Tidak dinafikan perubahan posisi telah menjadi satu batu loncatan buat Engku Nur Syakir.
"Posisi no 10 saya rasa tepat untuknya. Teruskan Syakir....permata baru Terengganu di masa akan datang," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram