Aksi menentang China, Syria penentu kekuatan sebenar Harimau Malaya — KPG


  • Podium
  • Rabu, 30 Ogos 2023

Malaysia akan bertemu Syria dan China yang menduduki kedudukan 100 terbaik dalam ranking FIFA. — Facebook/FAM

KETUA jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon begitu serius dalam usaha menyiapkan skuadnya menjelang aksi persahabatan di China tidak lama lagi.

Pengendali dari Korea Selatan itu berkata, dia amat mengalu-alukan dua aksi menentang Syria dan China yang sudah pasti akan memberikan cabaran berbeza kepada para pemainnya.

Bercakap kepada media di Wisma FAM bersempena kem latihan pusat skuad kebangsaan, Pan-gon berkata dua perlawanan tersebut bakal menguji kekuatan sebenar Harimau Malaya ketika ini.

Menurutnya, pertemuan bertemu Syria dan juga China ini akan menjadi penanda aras sejauh mana kekuatan Harimau Malaya sudah meningkat hinggakan mereka berjaya menembusi kelompok 140 negara terbaik dalam ranking FIFA.

370444678_1002889054117664_2390045030079497764_n

Faisal Halim bakal menjadi nadi utama serangan Malaysia di China. — Facebook/FAM

"Kem ini sangat penting sebelum kita memulakan pusingan kelayakan Piala Dunia pada November dan pusingan akhir Piala Asia pada bulan Januari.

"Kita akan berdepan dua pasukan yang cukup kuat kerana Syria dan China akan menjadi ujian yang terbaik untuk kita tahu dimana tahap kita sekarang," kata Pan-gon.

Sejak mengendalikan Harimau Malaya, Pan-gon berjaya menghasilkan 16 kemenangan dalam 21 perlawanan terakhir serta cuma tewas empat kali sahaja.

Lebih menarik, Harimau Malaya cuma kalah sekali sahaja di laman sendiri dan pernah mengharungi setahun tanpa tewas. Cuma, isu berbangkit adalah kesukaran untuk meraih kejayaan di gelanggang lawan.

370278215_1002889454117624_2228901990984483566_n

Kim Pan-gon mempunyai rekod cemerlang setakat ini bersama Malaysia. — Facebook/FAM

Oleh itu, Pan-gon amat mengalu-alukan perlawanan persahabatan di China kerana selain menguji kekuatan pasukan, ia juga akan membantu pemain mendapatkan keyakinan apabila beraksi jauh daripada sokongan ekor Harimau Malaya.

"Beraksi di tempat lawan memerlukan pelan yang lain kerana suasananya berbeza, penontonnya berbeza dan ini pastinya sukar.

"Jadi perlawanan di tempat lawan ketika kelayakan Piala Dunia amat penting, Piala Asia yang diadakan jauh dari tempat kita pun amat penting. Jadi, ia (aksi persahabatan di China) akan menjadi satu ujian yang baik untuk kita, selain membantu pemain mendapatkan keyakinan ketika bermain di tempat lawan," ujar Pan-gon.

Syria merupakan pasukan ke-94 sementara China menghuni kedudukan ke-80 dalam ranking FIFA. Sebagai perbandingan, Malaysia menduduki nombor 136 dunia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram