Bekas guru 'goalie' JDT, Selangor, Sabah tak percaya julang kejuaraan Liga Vietnam


  • Podium
  • Selasa, 29 Ogos 2023

Coang An Ha Noi dinobatkan selaku juara saingan V.League 1 2023.  — Facebook/ Azmin Azram

BEKAS penjaga gol kebangsaan, Azmin Azram Abdul Aziz melakar sejarah apabila menjulang kejuaraan V. League 1 bersama Cong An Ha Noi (CAHN) atau Hanoi Police.

Azmin Azram yang berada di bawah bimbingan Tan Cheng Hoe dalam skuad Harimau Malaya dari 2017 hingga 2022, memulakan peranannya sebagai jurulatih penjaga gol dengan kelab Coang An Ha Noi awal tahun ini.

Di bawah barisan kejurulatihan Paulo Foaini dari Brazil, Azmin Azram membantu pasukan itu menduduki tempat pertama pada musim biasa dengan 24 mata dan menduduki tempat teratas dalam pusingan kejuaraan.

Keputusan seri 1-1 yang dicatatkan ketika bertemu Dong A Thanh Hoa FC di laman sendiri itu sudah cukup untuk menghadiahkan kejuaraan kedua buat kelab tersebut berdasarkan kelebihan perbezaan jaringan meskipun terikat 38 mata bersama pencabar terdekat, Hanoi FC.

Malah, sumbangan Azmin Azram dapat dilihat apabila Coang An Hanoi menjadi pasukan paling sikit dibolosi iaitu sebanyak 36 jaringan dalam 33 perlawanan.

Bekas pemain kebangsaan itu melatih pemain antarabangsa Vietnam, Bui Tien Dung, Do Sy Huy, Hoang Trung Phong dan Filip Nguyen.

WhatsApp Image 2023-08-29 at 09.53.53

Azmin Azram bersama anak didiknya di Coang An Hanoi. — Facebook/ Azmin Azram

“Tak pernah terlintas dalam kepala saya pasukan kita akan menjadi juara V-League 1. Syukur Alhamdulillah, ALLAH telah mengurniakan rezeki dan pencapaian tertinggi buat saya sebagai jurulatih penjaga gol CAHN di Vietnam.

“Penghargaan tertinggi saya tujukan buat Effendi Jagan (Abdullah) dan Mashiedee (Sulaiman) yang telah membantu saya sepanjang karier baru saya di sini.

“Barakallahu Fik. Semoga ALLAH memberi kemudahan dan merahmati anda berdua. Allahumma Amin,” katanya dalam satu hantaran di Istagram miliknya.

Azmin bermain untuk Harimau Malaya dari 1998 hingga 2004 dan beberapa kelab dalam Liga Malaysia iaitu Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Selangor dan Pahang sebelum bersara pada 2006.

Antara anak murid yang sempat berguru dengannya ketika menjadi jurulatih penjaga gol skuad kebangsaan ialah Farizal Marlias (Johor Darul Takzim), Khairulazhan Khalid (Selangor FC) dan Khairul Fahmi Che Mat dari Sabah FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram