WARTAWAN Majoriti, Rahmi Jumriati Jono muncul finalis Top 5 kategori Ulasan Berita Terbaik Media Cetak Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) 100Plus 2022 yang berlangsung di Hotel Sunway Resort, Petaling Jaya, Selangor pada Selasa.
Rahmi Jumriati tersenarai sebagai lima finalis terbaik kategori tersebut menerusi ulasan berita bertajuk 'Dominasi, kamera antara 5 faktor Liga Malaysia makin hanyut'.
Penyertaan sulung Majoriti dalam penganjuran Anugerah SAM-100Plus 2022 itu sekali gus menyaksikan satu pengiktirafan buat portal Majoriti yang kini sudah mencecah usia dua tahun sejak diperkenalkan pada 2021.
Kategori Ulasan Berita Terbaik Media Cetak itu dimenangi oleh Pengarang Sukan Harian Metro, Mohd Saipul Adli Mohd manakala tiga wartawan lain ialah Fabian Mark Peter (NST), Muhammad Zuhaily Badlishah (Kosmo!), Ahmad Nazrin Syahmi (Bernama) turut terpilih sebagai tiga terbaik.
Pemenang bagi setiap kategori yang dipertandingkan itu membawa pulang wang tunai RM3,000 dan trofi manakala calon finalis pula menerima hadiah RM500 setiap kategori.
Majlis Anugerah SAM-100Plus 2022 itu dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan (KBS), Hannah Yeoh.
Pengeluar minuman isotonik terkemuka di Malaysia, 100Plus memainkan peranan penting dalam menjadi rakan kongsi utama majlis anugerah tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram