JAGUH bina badan negara, Datuk Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah dipilih sebagai pemenang untuk Anugerah Atlet Terbaik 2022 pada majlis Anugerah Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM)-100Plus 2022 pada Selasa.
Atlet berusia 50 tahun berkenaan mencuri nama apabila membawa pulang gelaran juara dunia buat kali kelima dalam kariernya semasa Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik Dunia bertempat di Phuket, Thailand pada Disember tahun lalu.
Syarul Azman yang juga dikenali sebagai Mike Mahen dipilih sebagai atlet terbaik negara apabila menewaskan empat calon lain, iaitu Aaron Chia-Soh Wooi Yik (badminton), Lim Kok Leong (snuker), Muhammad Aniq Kasdan (angkat berat) dan Ng Joe Ee (gimrama).
Dalam malam anugerah yang diadakan di Sunway Petaling Jaya, Selangor, beberapa atlet negara lain turut membawa pulang hadiah dalam kategori masing-masing.
Syarul Azman sudah mengumpul lima kejuaraan dunia sepanjang kariernya.
Antara yang muncul sebagai pemenang ialah pemain badminton paralimpik negara, Cheah Liek Hou yang muncul sebagai Atlet Para Terbaik selepas meneruskan rekod tanpa kalah sepanjang 2022.
Jaguh badminton paralimpik berusia 35 tahun tersebut menyertai beberapa pertandingan di peringkat antarabangsa tahun lalu, termasuk kejohanan Antarabangsa Brazil pada April 2022 serta Kejohanan Badminton Para Dunia pada November.
Selain itu, pemecut muda negara, Azeem Fahmi turut dipilih untuk membawa pulang hadiah selepas mengungguli Anugerah Khas 100Plus sementara pelumba motosikal remaja, Muhammad Hakim Danish Ramli muncul sebagai Atlet Muda Terbaik 2022.
Di samping itu, SAM juga tidak lupa dalam usaha menghargai jasa dan sumbangan seorang tokoh unggul dalam bidang sukan negara, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang dipilih sebagai Tokoh Kepimpinan Sukan.
Pemenang masing-masing menerima trofi dan wang tunai berjumlah RM10,000 yang disampaikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Selain memberi pengiktirafan kepada atlet yang mencapai kejayaan cemerlang, warga media sukan juga berpeluang memenangi hadiah melalui enam kategori anugerah kewartawanan yang dipertandingkan.
Antaranya ialah Laporan Berita Terbaik (Media Cetak), Laporan Berita Terbaik (Media Elektronik), Ulasan Berita Terbaik (Media Cetak), Ulasan Berita Terbaik (Media Elektronik), Laporan Khas Terbaik (Terbuka) dan Fotografi Sukan Terbaik.
Satu anugerah baharu turut diperkenalkan pada tahun ini iaitu Anugerah Pengulas Sukan Popular yang pemilihannya dijalankan berdasarkan undian terbanyak dilakukan secara dalam talian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram