Hidalgo, pemain sayap Sabah jadi sasaran Selangor andai layak ke Asia musim depan


  • Podium
  • Selasa, 29 Ogos 2023

Kecemerlangan Hidalgo bersama skuad Sang Kenari mula menarik perhatian penyokong Selangor FC. — Facebook/KDA FC

SELANGOR FC seperti semakin hampir untuk menamatkan penantian beraksi di pentas Asia apabila sudah mengukuhkan tempat mereka di tangga kedua Liga Super.

Pasukan yang hanya mengalami lima kekalahan sepanjang musim hanya perlu menempuhi empat lagi perlawanan dalam liga berdepan Terengganu FC, Perak FC, Kedah Darul Aman (KDA) FC dan PDRM FC.

Pencapaian itu semestinya disambut baik penyokong skuad Gergasi Merah memandangkan kali terakhir mereka layak ke Piala AFC adalah pada 2016.

Jadi, untuk memastikan mereka dapat bersaing dengan lebih baik sekiranya berjaya melayakkan diri, persiapan rapi semestinya perlu dibuat pihak pengurusan.

Ketika ini, Selangor FC seperti sudah bersedia untuk bermain di peringkat lebih tinggi melihat kepada pemain yang dimiliki selain fasiliti kelab berada di tahap memuaskan.

Selain itu, suasana antara pemain dengan barisan kejurulatihan juga seakan-akan cukup harmoni, yang menjadi antara elemen penting untuk memastikan tahap permainan dapat dipertingkatkan.

372630493_781401217324942_3485633112109446096_n

Mukhairi terpaksa diletakkan sebagai pemain sayap untuk digandingkan dengan Faisal. Facebook/Selangor FC

Bagaimanapun, sekiranya mereka mahu mengecapi kejayaan dalam Piala AFC, masih terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian, lebih-lebih lagi dari aspek persembahan di atas padang.

Bagi penyokong skuad Gergasi Merah, kualiti jentera serangan merupakan salah satu isu yang perlu diberikan perhatian ketika jendela perpindahan akan datang.

Berdasarkan kesebelasan utama yang kerap diletakkan, gandingan trio di posisi berkenaan menyaksikan pengendali pasukan, Tan Cheng Hoe menurukan Mukhairi Ajmal dan Faisal Halim sebagai pemain sayap sementara Ayron del Valle sebagai peledak utama.

Namun, pendekatan itu masih belum membuahkan hasil konsisten untuk setiap perlawanan memandangkan Mukhairi bukanlah seorang penyerang sayap.

Oleh itu, penyelesaian terbaik yang diberikan adalah supaya pihak pengurusan mencari pengganti terbaik dalam memastikan jentera serangan pasukan berada di tahap optimum.

Antara nama yang disebut-sebut di media sosial ialah penyerang sayap Sabah FC, Saddil Ramdani seperti mana dicadangkan penyokong kelab Lembah Klang itu, Foz Cullens.

371088511_684315783735116_3920479829172758467_n

Saddil merupakan nadi utama skuad Sang Badak musim ini. Facebook/Sabah FC

"Geram pula tengok Saddil Ramdani, Selangor FC tak mahu ambil ke tahun depan untuk digandingkan dengan Faisal Halim. Mesti ramai terkenang zaman Bambang Pamungkas," tulisnya.

Musim ini, pemain kebangsaan Indonesia itu menjadi nadi utama buat skuad Sang Badak apabila menjaringkan enam gol di samping mencipta sembilan bantuan jaringan dalam 15 penampilan Liga Super.

Bagaimanapun, di sebalik cadangan itu, beberapa penyokong lain pula berpendapat bahawa pemain sayap KDA FC, Manuel Hidalgo merupakan calon lebih baik.

"Daripada Saddil, lebih baik Hidalgo lagi. Lagi baik (permainan) dia ni, penyerang sayap kanan, tetapi kaki kira yang lebih dominan," ujar Mohd Akram Al-Banjariy.

"Hidalgo lebih bagus, kita pun ada pemain seperti itu (Saddil), cuma tidak diberikan peluang dengan kerap. Contohnya, Rahman Daud," kata Samsulkamal Samsul.

Seperti Saddil bersama Sabah FC, Hidalgo turut menjadi aset utama buat pasukannya apabila sudah menjaringkan tiga gol serta merekodkan 10 bantuan jaringan dalam 21 penampilan Liga Super.

Namanya sebelum ini disebut-sebut penyokong skuad Sang Kenari apabila merekodkan tiga 'assist' ketika KDA FC mengikat Johor Darul Takzim (JDT) di laman sendiri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram