Kelemahan Harimau Selatan terbongkar, selidik pro kontra keputusan seri JDT diikat Sang Kenari


  • Podium
  • Isnin, 28 Ogos 2023

Kedah berjaya mengikat JDT 3-3 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Sabtu lalu. — KDA FC

KEDAH Darul Aman (KDA) FC berjaya mencipta kejutan pada Sabtu lalu selepas berjaya mengikat kelab gergasi tanah air, Johor Darul Takzim (JDT) 3-3 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah.

Ia sekali gus mencalarkan rekod bersih skuad Harimau Selatan yang sebelum itu mengumpul mata maksimum apabila berjaya menang dalam kesemua 20 perlawanan Liga Super pada musim ini.

Meskipun hanya sekadar seri, keputusan itu sememangnya perlu diraikan skuad Sang Kenari belum ada lagi mana-mana pasukan dilihat mampu benar-benar memberikan cabaran hebat kepada JDT.

Ia termasuk pasukan di tangga kedua liga iaitu Selangor tewas muda iaitu 4-0 dan 2-0 dalam ketika saingan liga dan 4-0 ketika aksi separuh akhir Piala FA 2023.

370433614_866957794800198_5478325744987303351_n

Barisan pemain kesebelasan utama JDT ketika aksi menentang KDA FC Sabtu lalu. — JOHORSouthernTigers

Dengan perkembangan tersebut, berikut Majoriti senaraikan pro-kontra akibat daripada kegagalan JDT untuk memungut mata penuh:

Pro:-

1. Bantu JDT kenal pasti kelemahan perlu diperbaiki sebelum saingan ACL

Kegagalan memungut mata penuh ketika aksi menentang KDA FC sesuatu yang negatif buat JDT.

Ini kerana, keputusan berkenaan sebenarnya boleh dilihat sebagai satu wake-up call kepada bukan sahaja pemain tetapi juga barisan kejurulatihan mengenai aspek yang masih perlu ditambah baik.

Ia lebih penting kerana JDT kini sudah perlu memulakan persediaan mereka untuk beraksi di saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2023/2024 yang akan bermula pada bulan pertengahan bulan depan.

Disebabkan itu, keputusan seri ini seharusnya menyedarkan skuad Harimau Selatan untuk tidak terlalu selesa dengan dominasi ditunjukkan di saingan domestik.

Antara kelemahan ketara yang boleh dilihat pada perlawanan tersebut adalah kegagalan barisan tengah JDT terdiri daripada Juan Muniz, Wong Han dan Kunimoto untuk mendominasi bahagian tengah terutamanya pada separuh masa pertama.

Pada masa sama, dengan keterbatasan dihadapi oleh barisan tengah untuk mencipta lebih banyak peluang, pemain penyerang termasuk Bergson Da Silva juga dilihat gagal menyempurnakan beberapa peluang keemasan yang hadir ketika aksi tersebut.

Kedua-dua situasi itu dilihat memberikan tekanan buat pasukan JDT sehingga menyukarkan mereka mencari gol awal untuk membolehkan mereka mencipta kemenangan selesa seperti perlawanan sebelum ini.

2. Suntikan keyakinan buat KDA FC

371113470_335810285466822_6744295479668875243_n

Pemain KDA FC meraikan jaringan ketika bertemu JDT Sabtu lalu. — KDA FC

Dalam pada itu, keputusan seri ini dilihat secara langsung memberikan suntikan keyakinan buat perkembangan pasukan KDA FC yang disifatkan masih belum meyakinkan buat beberapa pemerhati bola sepak bola sepak negara.

Skuad Sang Kenari ketika ini boleh dikatakan masih dalam proses pembentukan selepas daripada rombakan besar-besaran untuk memasuki musim ini termasuk dengan melantik jurulatih baharu, Nafuzi Zain.

Bagaimanapun, meskipun KDA FC kini berada di tangga ketiga liga, namun beberapa aksi terumbang-ambing dipamerkan pemain dalam perlawanan tertentu menimbulkan tanda tanya berkenaan masa depan pasukan.

Ia selepas skuad Negeri Jelapang Padi itu tersingkir di tangan pasukan bawahan dalam dua kejohanan iaitu ketika pusingan pertama Piala FA ketika menentang Penang FC dan pusingan ke-16 Piala Malaysia (Perak FC).

Sehubungan itu, dengan persembahan terbaik musim ini yang dipamerkan oleh anak buah Nafuzi pada Sabtu lalu, ia pastinya menyuntik keyakinan bukan sahaja kepada penyokong, tetapi juga buat pemain berkenaan dengan hala tuju pasukan..

3. Bantu pasukan lain beri cabaran lebih hebat kepada JDT

Dalam saingan liga musim ini, JDT dilihat sebagai sebuah pasukan yang benar-benar sukar untuk disaingi.

Selain daripada rekod 20 kemenangan berturut-turut, JDT juga dilihat mempunyai catatan bolos yang sangat rendah iaitu hanya sekadar ditembusi sebanyak tujuh kali.

Malah, skuad Harimau Selatan juga tidak pernah dibolosi lebih daripada satu jaringan dalam satu-satu perlawanan.

Bagaimanapun, kejayaan KDA FC untuk membolosi gawang JDT sebanyak tiga kali pada Isnin lalu membuktikan bahawa kekebalan skuad Harimau Selatan bukanlah sesuatu yang mustahil untuk diruntuhkan.

Ia terutamanya oleh pasukan yang mempunyai kualiti pemain lebih kurang sama seperti skuad Sang Kenari.

Selain bertemu PDRM FC, Kelantan United FC, Kuching City FC dan Penang FC, JDT juga akan berentap dengan Sri Pahang FC yang berada di tangga keempat liga dalam lima aksi terakhir liga.

Kontra:-

1. Buka mata pesaing JDT di ACL

Dalam pada itu, kegagalan JDT menang pada perlawanan Sabtu lalu juga pastinya secara langsung membuka mata buat kelab lain yang akan bersaing di skuad Harimau Selatan dalam kumpulan I ACL.

Lawan di JDT bukanlah calang-calang pasukan kerana ia terdiri daripada kelab utama yang mewarnai kejohanan tertinggi kelab bola sepak Asia.

Tiga kelab tersebut ialah Kawasaki Frontale dari Jepun, Ulsan Hyundai (Korea Selatan) dan BG Pathum United (Thailand).

Dengan kualiti yang dimiliki kesemua kelab terbabit, adalah tidak sukar membayangkan bagaimana mengeksploitasi kelemahan dipamerkan skuad Harimau Selatan ketika menentang KDA FC baru-baru untuk membolehkan mereka mengatasi JDT.

2. Pemain JDT mula tunjuk keletihan

371805409_866977331464911_6078805834677474311_n

Arif (kanan) merupakan antara pemain yang paling kerap digunakan JDT pada musim ini. — JOHORSouthernTigers

Sementara itu, rekod 25 kemenangan berturut-turut termasuk ketika kejohanan Piala Malaysia dan Piala FA dilihat mula memberikan kesan terhadap status kecergasan pemain.

Pada masa sama, ia juga membuka mata buat jurulatih JDT, Esteban Solari untuk menilai kembali kaedah penggiliran pemain yang dilaksanakan ketika ini.

Sebagai contoh, terdapat beberapa pemain utama dilihat berkemungkinan tidak mendapat rehat yang mencukupi kerana digunakan dengan agak kerap meskipun di dalam perlawanan yang tidak begitu penting mahupun mencabar.

Antara pemain yang dimaksudkan ialah pemain sayap kanan sensasinya, Arif Aiman Hanapi; penyerang, Bergson dan kapten pasukan, Jordi Amat.

3. JDT kempunan cipta sejarah baharu dunia bola sepak

Keputusan seri pada Sabtu lalu menyebabkan JDT tidak dapat terpaksa menangguhkan pengesahan sebagai juara Liga Super 2023 dalam perlawanan seterusnya.

Ia juga sekali gus memadamkan harapan yang mungkin wujud dalam kalangan penyokong JDT untuk mencipta sejarah dunia menjadi satu-satunya kelab bola sepak dunia yang menang dalam kesemua perlawanan liga untuk satu musim.

Keputusan itu pastinya agak mengecewakan kerana dalam enam perlawanan terakhir liga, JDT hanya bertemu dua pasukan di kelompok teratas liga iaitu KDA FC dan Sri Pahang FC.

Baki lima lagi perlawanan adalah menentang PDRM FC, Kelantan United FC, Kuching City FC dan Penang FC.

Bagaimanapun, di sebalik kekecewaan tersebut, JDT masih berada di landasan untuk mencipta satu sejarah baharu pada musim ini iaitu menjuarai Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram