Di sebalik taktikal lapuk, fans sandarkan harapan buat 2 bintang jauh Harimau Muda


  • Podium
  • Selasa, 29 Ogos 2023

Aksi pemain skuad B-23 negara ketika menentang Thailand pada penentuan tempat ketiga Piala AFF. — Agensi

DUA pemain berpangkalan di luar negara, Luqman Hakim Shamsudin dan Nooa Laine, berada dalam senarai awal skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan menjelang pusingan kelayakan Piala Asia B-23 2024 di Chonburi, Thailand, bulan depan.

Nama Luqman pastinya menjadi sensasi selepas sudah lama tidak menyarung jersi skuad kebangsaan, dan aksinya kali ini pasti dinantikan para penyokong untuk melihat persembahan yang bakal ditampilkan dalam perlawanan tersebut.

Buat masa ini, Luqman berada di Iceland selepas dipinjamkan oleh K.V Kortrijk untuk mewakili Njarðvík FC dalam saingan divisyen teratas selaku salah seorang penyerang muda pasukan tersebut.

luqman

Luqman Hakim antara muka baharu dipanggil ke kem latihan Harimau Muda.

Bukan sahaja Luqman malah nama pemain kacukan, Nooa Laine juga antara paling mencuri tumpuan selepas pemain tersebut sudah pun menyinar sebelum ini bersama pasukan senior di pentas antarabangsa, dan pengalamannya di Finland pasti menjadi tarikan utama buat Ketua Jurulatih B-23 negara, E. Elavarasan.

Berikutan perkara itu, rata-rata penyokong bola sepak tanah air teruja dengan kehadiran dua muka baharu yang dipanggil bagi membantu pasukan Harimau Muda.

Ia juga seperti memberi sedikit kelegaan buat sebahagian penyokong yang agak kecewa selepas anak-anak buah Elavarasan yang tidak berjaya menepati sasaran mara ke perlawanan akhir kejohanan Piala AFF B-23 baru-baru ini.

Ini selepas sentuhan Elavarasan buat skuad Harimau Muda dikatakan kurang menyerlah kerana masalah taktikal lapuk atau old skool yang diterapkan jurulatih berusia 61 tahun itu.

"Padu sikit team ini kali sebab ada Luqman, Nooa Laine dan Mukhairi Ajmal yang lebih berpengalaman," kata Cg Art Ismail.

"Setelah sekian lama Luqman Hakim tak sarung jersi Harimau Muda, mesti padu pasukan negara," kata Rdzn C Rsly.

"Nooa Laine patut jadi perancang tengah sebab passing dia cantik untuk striker skor gol," kata Azfar Hakim Yusof.

"Luqman Hakim is back, its now or never. Tunjukkan kemampuan awak," kata Adam Nasri.

1992973

Nooa melakukan penampilan pertama bersama skuad senior pada separuh masa kedua. — Facebook/FAM

Melihat kepada situasi skuad kebangsaan dalam perlawanan sebelum ini, tentunya kehadiran dua muka baharu tersebut dijangka bakal membawa perubahan selain mampu memberikan senyuman kepada penyokong.

Pada Isnin, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Isnin mengumumkan seramai 25 pemain Harimau Malaya Bawah 23 Tahun (B-23) dipanggil ke kem latihan pusat bermula pada 30 Ogos 2023 nanti.

Panggilan ke kem latihan itu adalah sebagai persediaan untuk skuad kendalian Elavarasan bagi menghadapi Kelayakan Piala Asia B-23 2024 di Chonburi, Thailand bermula 6 hingga 12 September 2023.

Seramai 14 daripada 23 pemain skuad Kejuaraan B-23 AFF 2023 di Rayong, Thailand dikekalkan, antaranya termasuk beberapa muka baharu seperti Hariz Mansor, M. Rakesh, Saiful Jamaluddin dan penjaring terbanyak kejohanan, Alif Ikmalrizal Anuar.

Sementara baki sembilan pemain lain yang dipanggil terdiri daripada pemain skuad Sukan SEA 2023 yang tidak berada dalam senarai ke Kejuaraan B-23 AFF 2023 iaitu Mukhairi Ajmal, Harith Haiqal Adam Afkar, Ahmad Zikri Khalili, Azam Azmi Murad, Safwan Mazlan, T. Saravanan, Haqimi Azim Rosli, Azrin Afiq Rusmini dan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman.

Menurut kenyataan daripada FAM, Malaysia yang diletakkan dalam Kumpulan H bakal memulakan kempen tersebut pada 6 September untuk membuat perhitungan sulung menentang Bangladesh sebelum berdepan cabaran Filipina serta tuan rumah, Thailand. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram