Fans mulut pedas label ubi muda Selangor kaki bangku, tak layak dapat 'call up' B-23


  • Podium
  • Isnin, 28 Ogos 2023

Skuad Harimau Muda menamatkan cabaran di kedudukan keempat terbaik dalam saingan Piala AFF 2023.— Instagram/FAM

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Isnin mengumumkan seramai 25 pemain Harimau Malaya Bawah 23 Tahun (B-23) dipanggil ke kem latihan pusat bermula pada 30 Ogos 2023 nanti.

Panggilan ke kem latihan itu adalah sebagai persediaan untuk skuad kendalian E. Elavarasan bagi menghadapi Kelayakan Piala Asia B-23 2024 di Chonburi, Thailand bermula 6 hingga 12 September 2023.

Aksi yang bakal berlangsung di Chonburi, Thailand itu menyaksikan Elavarasan membuat sedikit perubahan dalam kalangan pemain berbanding ketika mereka menghadapi aksi Piala AFF B-23 beberapa hari lalu.

Susulan itu, Elavarasan mengekalkan 14 daripada 23 pemain skuad Kejuaraan B-23 AFF 2023 di Rayong, Thailand pada 17 hingga 26 Ogos lalu, antaranya termasuk beberapa muka baharu seperti Hariz Mansor, M. Rakesh, Saiful Jamaluddin dan penjaring terbanyak kejohanan, Alif Ikmalrizal Anuar.

WhatsApp Image 2023-08-28 at 21.40.19

Seramai 25 pemain Harimau Malaya Bawah 23 Tahun (B-23) dipanggil ke kem latihan pusat. — Facebook/FAM

Sementara baki 11 pemain lain yang dipanggil kali ini terdiri daripada sembilan pemain dari skuad Sukan SEA 2023 yang tidak berada dalam senarai ke Kejuaraan B-23 AFF 2023 iaitu Mukhairi Ajmal Mahadi, Harith Haiqal Adam Afkar, Ahmad Zikri Khalili, Azam Azmi Murad, Safwan Mazlan, T. Saravanan, Haqimi Azim Rosli, Azrin Afiq Rusmini dan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman serta dua pemain berpangkalan di luar negara iaitu Luqman Hakim Shamsudin dan Nooa Laine.

Bagaimanapun, nama pemain tengah Selangor FC, Syahir Bashah yang turut mendapat panggilan kebangsaan itu menjadi bualan hangat apabila tidak dipersetujui oleh penyokong tanah air.

Hal ini kerana, pemain muda Gergasi Merah itu sebelum ini gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika perlawanan Malaysia bertemu Thailand bagi penentuan tempat ketiga dalam aksi Piala AFF 2023.

"Syahir Bashah tu tak payah lah, buat semak saja nanti. Kaki bangku pun boleh dapat call up. Wahai management Harimau Muda bukalah mata, bangunlah, jangan makan tidur saja," kata Azzam Bullzen.

"Syahir Bashah ada lagi pula. Tanggunglah nanti akibat," kata Mat Ulam Raja.

"Si Syahir Bashah tu ada lagi rupanya. Coach mengantuk sangat ni," kata Saya Adam.

Bagaimanapun, daripada 25 pemain tersebut, hanya 23 pemain akan berada dalam senarai akhir apabila skuad Harimau Malaya B-23 berlepas ke Thailand pada 4 September ini.

Jelas FAM, Malaysia yang diletakkan dalam Kumpulan H bakal memulakan kempen tersebut pada 6 September untuk membuat perhitungan sulung menentang Bangladesh sebelum berdepan cabaran Filipina serta tuan rumah, Thailand. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram