Fandi pening cari solusi pemain lalai, 3 cara boleh cuba atasi masalah hilang fokus Tok Gajah


  • Podium
  • Selasa, 29 Ogos 2023

Isu hilang fokus melibatkan pemain Sri Pahang FC menggusarkan Fandi Ahmad. — Sri Pahang FC

DALAM sukan bola sepak ini, pelbagai perkara yang perlu diambil kira untuk memastikan sesebuah pasukan itu berjaya.

Teknik bermain, taktikal, kecergasan fizikal pemain antara perkara yang amat penting perlu diambil serius oleh setiap jurulatih sekiranya ingin berjaya.

Selain itu, aspek psikologi atau mental pemain turut perlu dijaga. Bola sepak adalah sebuah sukan yang amat memerlukan komitmen 100 peratus sewaktu beraksi, jika fizikal dalam keadaan mantap tetapi mental 'rabak', tak boleh juga.

Baru-baru ini, pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad mengatakan yang isu pemainnya lalai ketika beraksi dalam perlawanan masih tidak dapat diselesaikan.

Menurut Fandi, walaupun sudah dikatakan beberapa kali kepada para pemain, namun skuad Tok Gajah masih mempunyai masalah hilang fokus terutamanya ketika separuh masa kedua.

"Sebenarnya, saya sudah beberapa kali bercakap dengan para pemain mengenai perkara ini. Kalau pada separuh masa pertama bermain dengan baik, tapi di separuh masa kedua mesti akan menurun. Selalu begitu," kata Fandi selepas Sri Pahang FC menang ke atas Kelantan United dalam aksi Liga Super.

Berdasarkan pemerhatian Majoriti, terdapat tiga perkara yang Fandi boleh lakukan supaya isu hilang fokus ketika beraksi ini tidak lagi menganggu Sri Pahang FC.

Pahang (1)

Fandi pening kepala dengan isu pemainnya yang tidak fokus ketika beraksi. — Facebook/Sri Pahang FC

1. Baiki kecergasan pemain

Seperti yang kita tahu, fizikal dan mental adalah saling berkait dan memerlukan antara satu sama lain. Jika salah satu tidak berfungsi dengan baik, ia akan memberikan kesan secara keseluruhannya.

Dalam isu Sri Pahang FC ini, permasalahan timbul daripada keadaan fizikal pemain sendiri yang tidak begitu baik. Sebelum ini, Fandi sendiri pernah menegur skuadnya yang suka tidur petang pada hari perlawanan.

Tindakan tersebut menyebabkan pemain menjadi longlai dan 'berat' untuk berlari pada malam perlawanan.

Kesannya, ia memberi implikasi kepada mental pemain seterusnya apabila usia perlawanan makin meningkat, fokus itu sudah mula hilang.

Oleh itu, amat perlu untuk Fandi membaiki kecergasan pemain supaya fizikal dan mental skuadnya dalam keadaan mantap. Oleh itu, isu hilang fokus terutamanya di separuh masa pertama dapat diatasi.

368685311_666094695552565_4780645490423877185_n

Sri Pahang mendapat sokong berterusan daripada Elephant's Army.

2. Maksimumkan pertukaran pemain

Dalam setandan, tak semuanya busuk. Itu mungkin boleh digambarkan mengenai tahap kecergasan pemain-pemain Sri Pahang FC, pasti ada sebahagian yang memang berada dalam keadaan terbaik.

Namun begitu, macam mana nak mengatasi isu fokus pemain yang terkesan akibat tahap fizikal tidak berada dalam keadaan baik? Jawapannya adalah melakukan pertukaran.

Fandi boleh memaksimumkan proses pertukaran pemain ketika perlawanan untuk memastikan pasukan sentiasa segar sepanjang perlawanan.

Apabila seorang pemain diganti dengan fresh leg, ia akan menyuntik semula kekuatan dan fokus pasukan. Jadi, situasi yang mana mereka dibolosi pada separuh masa kedua dapat dikurangkan.

Sebagai contoh ketika bertemu Kelantan United FC, Tok Gajah memboloskan gol pada minit ke-77. Mungkin, apa yang Fandi boleh lakukan adalah memasukkan pemain pertahanan baharu yang fokusnya belum terjejas pada untuk membolehkan gawang mereka tidak berjaya dibolosi.

Pahang

Isu hilang fokus boleh diatasi dengan menggantikan pemain 'lemau' dengan 'fresh leg'. — Facebook/Sri Pahang FC

Tok Gajah juga akan memperoleh keputusan yang dimahukan jika pengurusan permainan (game management) dilakukan dengan baik oleh barisan kejurulatihan.

3. Penggiliran skuad perlu dilakukan

Perjalanan liga adalah panjang kerana jumlah perlawanan yang perlu dihadapi adalah banyak. Oleh itu, Fandi perlu ada skuad yang besar dan tidak terlalu besar jurang kebolehan antara pemain utama dan simpanan.

Hal ini kerana, ia membolehkan Fandi melakukan penggiliran skuad perlu kerana jika dia terus menggunakan kesebelasan pemain yang sama, mereka boleh keletihan sekali gus memberikan kesan kepada fokus ketika beraksi.

Jika penggiliran skuad dilakukan, ia akan membantu skuad Sri Pahang FC untuk kekal segar sambil kesemua pemain memperoleh minit permainan yang diperlukan.

Tok Gajah juga akan memperoleh keputusan yang dimahukan jika pengurusan permainan (game management) dilakukan dengan baik oleh barisan kejurulatihan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram