MISI untuk meraih sesuatu yang positif daripada kejohanan Piala AFF B-23 tidak berhasil, Harimau Muda pulang hampa selepas gagal mara ke perlawanan akhir seperti yang disasarkan. Lebih perit, mereka hanya meraih tempat keempat sahaja.
Desakan demi desakan diberikan oleh penyokong yang mahukan pengendali skuad B-23 Malaysia, E. Elavarasan disingkirkan dan digantikan dengan jurulatih lebih berkaliber.
Tetapi, adakah ia satu tindakan bijak untuk menyingkirkan Elavarasan di kala Harimau Muda akan berdepan pusingan kelayakan Piala Asia B-23 yang diadakan pada September nanti? Semuanya terletak pada kebijaksanaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu sendiri.
Menurut penganalisis sukan, Dr Pekan Ramli, FAM perlu mendengar apa yang disuarakan oleh penyokong dengan mendapatkan pengendali baharu bagi Harimau Muda walaupun masa sudah semakin suntuk.
Pada hemat Pekan, Elavarasan sudah gagal dalam dua tugasan sebelum ini dan perlu memberi laluan kepada pengendali lain yang lebih berkaliber untuk melatih Harimau Muda.
Harimau Muda hanya meraih tempat keempat dalam Piala AFF B-23. — Facebook/FAM
"Rasanya lepas gagal di Sukan SEA, Elavarasan telah pun diberi peluang untuk sambung tugasan di Piala AFF B-23 dan gagal juga. Pada saya kalau FAM serius untuk persiapkan pasukan bagi kelayakan Piala Asia B23 bulan depan, ikut sahaja kehendak peminat.
"Lantik sahaja jurulatih baru. Siapa tahu ada keajaiban yang boleh berlaku nanti? Saya tak nampak faktor Elavarasan atau faktor kekal atau tukar jurulatih baru di kelayakan Piala Asia B-23 nanti boleh dianggap punca utama kegagalan Harimau Muda nanti. Kegagalan dalam tangan, kejayaan tetap samar-samar," kata Pekan ketika dihubungi Majoriti.
Pekan juga secara terbuka menyatakan Malaysia cuma mempunyai peluang yang begitu kecil untuk mara ke pusingan akhir Piala Asia B-23 sekiranya Elavarasan masih lagi mengemudi pasukan.
Menurut Pekan, Elavarasan tidak berjaya untuk menaikkan standard bola sepak Harimau Muda dan prestasi para pemain juga tidak menjadi seperti yang diharapkan.
Peluang Malaysia layak ke Piala Asia B-23 dilihat tipis jika Elavarasan masih melatih pasukan. — Facebook/FAM
"Minta maaf cakap, bukan nak menidakkan keupayaan Elavarasan, tetapi dari apa yang saya lihat corak permainan pasukan sewaktu di bawah bimbingannya tidak nampak ada peningkatan yang ketara.
"Satu lagi, cara bermain yang masih tidak meyakinkan dan tidak konsisten. Rasanya tidak mungkin ada keajaiban yang akan berlaku sekalipun Elavarasan dikekalkan atau semua pemain hebat dan berstatus bintang di bawa bersama.
"Saya rasa kita tidak akan layak jika masih mengamalkan pendekatan yang sama," ujar Pekan.
Malaysia diundi dalam kumpulan H bersama-sama Thailand, Bangladesh dan juga Filipina dalam pusingan kelayakan ini. Pusingan kelayakan ini akan dilakukan pada 4 hingga 12 September 2023 dengan Thailand akan menjadi tuan rumah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram