SENARAI nama bagi skuad B-23 Malaysia untuk pusingan kelayakan Piala Asia B-23 telah pun dikeluarkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Seramai 25 nama telah dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat dengan Harimau Muda akan berdepan Thailand, Filipina dan Bangladesh dalam misi menempah tempat ke pusingan akhir di Qatar pada 2024.
Dalam senarai yang dikeluarkan, E. Elavarasan memanggil beberapa pemain yang sudah pun mencuri perhatian ramai menerusi persembahan mereka dalam Liga Super seperti Sikh Izhan Nazrel (Negeri Sembilan FC), Harith Haiqal (Selangor FC) dan juga Haqimi Azim (Kuala Lumpur FC).
Selain itu, Elavarasan juga mengekalkan beberapa nama yang dibawanya ke kejohanan Piala AFF B-23 seperti Fergus Tierney (Johor Darul Takzim), Alif Ikmalrizal (Penang FC) dan Aiman Afif (Kedah Darul Aman FC).
Tak dilupakan, beberapa nama yang kembali membuat kemunculan bersama-sama skuad kebangsaan seperti Luqman Hakim (KV Kotrijk), Azam Azmi (Terengganu FC) serta Nooa Laine (SJK).
Sikh Izhan antara nama-nama yang dipanggil ke skuad B-23 Malaysia. — Facebook/NSFC
Walaupun nama-nama yang dipanggil itu kelihatan mantap dan gah, ia masih tidak dapat menghalang penyokong daripada meluahkan kata-kata negatif terhadap skuad muda negara.
Semuanya berpunca kerana Elavarasan yang gagal memberikan kejayaan kepada Harimau Muda selepas tidak berjaya dalam kempen Sukan SEA di Kemboja dan Piala AFF B-23 baru-baru ini.
Di mata penyokong, taktikal Elavarasan tidak cukup ampuh untuk memberikan kemenangan buat Malaysia walaupun skuad muda negara dibarisi oleh ramai pemain berbakat.
"Selagi barisan kejurulatihan setakat itu saja, kita akan persembahkan gameplay kampung.
"Tiada Adam Farhan, Haykal Danish, Faiz Amer, Daryl Sham, Gabriel Nistelrooy, Muhammad Abu Khalil dan juga Richard Chin," kata akaun OneFootball.my di Instagram.
Tangkap layar komen OneFootball.my mengenai skuad Harimau Muda. — Instagram/OneFootball.my
Pendapat tersebut turut dipersetujui oleh penyokong-penyokong lain yang berasa yakin dengan pemain yang dipanggil tetapi bukan Elavarasan.
"Pemain semua dah terbaik, jurulatih sila tukar. Masih sempat," komen Encik Hairie.
"Kekalkan pemain, tukar jurulatih!!," ujar Rashid Elias.
"Tukar jurulatih, ternyata jurulatih sedia ada prestasi amat mengecewakan," tulis Azmi Alghani.
Kelayakan Piala Asia B-23 ini adalah ujian terbesar Elavarasan sejak mengemudi Harimau Muda. Jika dia tidak berjaya, pastinya desakan penyokong untuk FAM menyingkirkannya lebih kuat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram