Dari penyerang ke penjaga gawang, pemain cilik Kedah ini punca Harimau Selatan tersungkur


  • Podium
  • Selasa, 29 Ogos 2023

Afif Adli menjadi wira skuad B-12 MSSM Kedah apabila menyelamatkan dua sepakan penalti bertemu Johor. — Facebook/Akademi Sang Kenari

SIAPA sangka, kejayaan sesebuah pasukan ditentukan oleh pemain yang tidak sepatutnya mengawal pintu gol?

Begitulah ceritanya untuk skuad cilik Kedah selepas mereka berjaya menempah tempat ke perlawanan akhir acara bola sepak bagi Kejohanan Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) untuk kategori bawah 12 tahun (B-12).

Dalam perjalanan mereka untuk ke perlawanan akhir, seorang pemain telah menjadi watak penting kemaraan Kedah dalam misi merangkul kejuaraan dalam kejohanan yang diadakan di Johor.

Afif Adli Ar Rashid Abdullah, penyerang skuad MSSM B-12 Kedah yang dua kali menjadi penjaga gol dalam perjalananan mereka ke perlawanan akhir bertemu Perlis pada Rabu.

Afif mencuri tumpuan apabila menyelamatkan dua sepakan penalti untuk Kedah ketika bermain sebagai penjaga gol sewaktu bertemu Johor dalam aksi separuh akhir.

Dalam perlawanan yang berakhir dengan keputusan 1-1, kecemerlangan Afif berjaya membawa Kedah ke perlawanan akhir selepas menang penentuan sepakan penalti 4-3.

371821369_158438720625935_5468129418241333540_n

Afif meraikan kejayaan menyelamatkan sepakan penalti Johor pada aksi separuh akhir kejohanan MSSM. — Facebook/Akademi Sang Kenari

Pelajar Sekolah Kebangsaan Guar Napai, Kubang Pasu, Kedah ini merupakan penyerang yang digeruni kerana mempunyai susuk tubuh fizikal yang besar untuk pemain sebaya dengannya.

Kelebihan fizikal Afif bukanlah satu-satunya kelebihan yang pemain itu ada. Dia juga turut mempunyai kualiti sepakan cukup padu dan ini terbukti ketika aksi suku akhir apabila jaringannya memenangkan Kedah ketika bertemu Putrajaya.

Bagi jurulatih , Firdaus Norazman, dia sudah lama mengesan bakat terpendam Afif sebagai penjaga gol sewaktu pemain itu beraksi buat daerahnya iaitu Kubang Pasu.

Sewaktu mewakili Kubang Pasu di peringkat negeri, Afif pernah menonjolkan kehebatannya sebagai penjaga gol apabila menyelamatkan daerahnya dengan menyelamatkan kesemua sepakan penalti sekali gus mengangkat namanya sebagai wira.

371842057_158438793959261_3184226490812690558_n

Afif sebelum itu beraksi selaku penyerang dalam perlawanan menentang Johor. — Facebook/Akademi Sang Kenari

Sudah pasti, kisah Afif ini akan menjadi bualan ramai pihak terutamanya penyokong Kedah Darul Aman (KDA) FC. Jika kena caranya, pasti KDA FC akan melatih bakat yang ada pada pemain cilik ini untuk diketengahkan pada peringkat tertinggi kelak.

Jadi penyerang atau penjaga gol? Itu masa yang akan tentukan tetapi bakat seperti Afif perlu dijaga sebaiknya. Jika tidak, negara akan kehilangan seorang pemain berbakat yang berpotensi menjulang nama Malaysia di masa hadapan. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram