CONTOHILAH Vietnam, jika ingin memperbetulkan perkembangan bola sepak Malaysia!
Itulah penilaian bekas jurulatih Kedah Darul Aman FC, Azraai Khor Abdullah ketika Harimau Muda menduduki tempat keempat di belakang Thailand, Indonesia dan juara Vietnam dalam Kejohanan Bawah 23 Tahun Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) di Stadium Wilayah Rayong di Bangkok pada Sabtu.
Azraai, yang pernah melatih skuad Harimau Muda pada 2010, berasa hairan apabila Malaysia berada di belakang negara seperti Indonesia dan Vietnam walaupun banyak inisiatif dilakukan untuk memperbaiki akar umbi selama ini.
“Lihat perkembangan Vietnam sejak 10 tahun lalu. Mereka pergi mencari bakat di setiap daerah di negara dan mencungkil seramai 4,000 pemain untuk masa depan.
“Dulu mereka sering goyah di peringkat kalah mati tetapi kini mereka adalah pasukan yang dominan. Rancangan mereka telah berjaya. Kita tewas kepada mereka 1-4 di separuh akhir," katanya.
Susulan itu, Azraai menggesa jawatankuasa teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk membuat pembaharuan dalam industri bola sepak tanah air.
“Mereka tidak boleh hanya mengharapkan pemain dari Akademi Mokhtar Dahari (AMD) untuk berkembang maju. Kita perlu mula mencari bakat di setiap sudut negeri.
“Pemain dilihat seperti tidak memahami strategi. Tentunya ada beberapa bentuk strategi tetapi saya tidak dapat melihatnya. Beginikah cara pasukan pelapis kebangsaan bermain? Menyedihkan.
“Jurulatih E. Elavarasan perlu bekerja keras sebelum aksi kelayakan Piala Asia Bawah 23 AFC bulan depan (6-12 September di Thailand). Namun, terdapat beberapa pemain yang dipilihnya dilihat tidak memenuhi jangkaan," katanya.
Azraai juga merasakan Piala MFL, iaitu Liga Bawah 23 Tahun, tidak membantu pemain muda tempatan.
“Saya tahu beberapa pasukan menurunkan semua pemain muda mereka tetapi ada yang mengharapkan pemain import untuk bermain di posisi penting seperti penyerang dan pemain tengah. Bagaimanakah anak muda kita akan berkembang apabila import lebih diutamakan dalam posisi tersebut?
"Kita memerlukan masa bermain yang tetap buat pemain-pemain muda agar memiliki pasukan yang lebih baik untuk peringkat umur kebangsaan," jelasnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram