Singkir Elavarasan sekarang?, pakar anggap tukar 'coach' bawa lebih banyak mudarat berbanding kebaikan


  • Podium
  • Isnin, 28 Ogos 2023

Elavarasan menjadi sasaran kecaman penyokong selepas Harimau Muda hanya memperoleh tempat keempat di Piala AFF B-23. — Facebook/FAM

RENTETAN keputusan yang tidak memberangsangkan oleh skuad B-23 Malaysia di kejohanan Piala AFF B-23, persoalan terus diberikan kepada Harimau Muda - adakah mereka mampu untuk bersaing?

Rata-rata penyokong bola sepak tempatan jelas sekali kecewa dengan persembahan skuad kendalian E. Elavarasan yang tidak berjaya menepati sasaran untuk mara ke perlawanan akhir kejohanan yang diadakan di Thailand itu.

Sudahlah tidak layak ke separuh akhir, tersungkur pula di perlawanan penentuan tempat ketiga kepada Thailand lalu pulang sebagai pasukan tempat keempat kejohanan.

Desakan oleh para penyokong membara untuk Elavarasan berundur, namun adakah ia satu tindakan bijak kerana pusingan kelayakan Piala Asia B-23 akan diadakan tidak lama lagi.

Ela

Tugasan seterusnya untuk Harimau Muda adalah kelayakan Piala Asia B-23 pada September ini. — Facebook/FAM

Menurut penganalisis sukan, Dr Zulakbal Karim, jika Elavarasan berundur sekarang ia akan memberikan lebih banyak keburukan kepada Harimau Muda berbanding kebaikan.

Kerana dengan masa yang singkat, para pemain perlu membiasakan diri dengan rejim latihan baharu sambil pendekatan taktikal berbeza diperkenalkan oleh sesiapa sahaja yang menggantikan Elavarasan.

"Saya faham (desakan) para penyokong untuk Elavarasan berundur sekarang, tetapi apa jaminan jurulatih baharu boleh bawa kejayaan (kepada) kita ketika kelayakan Piala Asia B-23? Siapakah calon yang lebih baik untuk gantikan Elavarasan?

"Buat masa sekarang, Elavarasan adalah jurulatih sesuai untuk terus melatih skuad B-23 negara untuk kelayakan Piala Asia B-23 pada September ini.

"Masa dah suntuk untuk kita tukar jurulatih, kalau tukar jurulatih pun kita tak ada banyak masa untuk baiki (kesilapan). Saya fikir atas faktor pengalaman Elavarasan dan kesuntukan masa, adalah wajar untuk biarkan dia terus melatih Harimau Muda hingga tamat tugasan Piala Asia B-23," kata Zulakbal kepada Majoriti.

Ela (2)

Alif Ikmalrizal merangkul anugerah penjaring terbanyak Piala AFF B-23. — Facebook/FAM

Pada hemat Zulakbal, keputusan untuk kekalkan Elavarasan adalah perlu untuk mengurangkan 'hal-hal yang tidak sepatutnya difikirkan' oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Jika tinggal lagi beberapa minggu kita nak tukar jurulatih, pemain perlu sesuaikan diri dengan taktikal baharu, gaya baharu jurulatih dan itu akan mengambil masa. Patutnya sekarang, pasukan dah boleh bergerak secara autopilot (di atas padang).

"Jadi tak perlu tukar jurulatih, kita pakai saja Elavarasan dan kita baiki kelemahan itu untuk menghadapi kelayakan Piala Asia B-23," ujar Zulakbal.

Bercakap mengenai peluang Harimau Muda di kelayakan Piala Asia B-23, Zulakbal menganggap skuad muda negara ada peluang untuk mencabar tempat walaupun mereka bukanlah calon juara.

"Saya rasa Harimau Muda boleh menjadi antara pencabar terkuat di (kelayakan) Piala Asia B-23, nak menang itu saya tak berani cakap, tapi mencabar itu boleh," komen Zulakbal lagi.

Terdahulu, The Star melaporkan, bekas jurulatih double treble Kedah Darul Aman FC, Azraai Khor Abdullah menggesa jawatankuasa teknikal FAM untuk membuat pembaharuan dalam industri bola sepak tanah air.

Azraai berpendapat badan induk bola sepak itu tidak boleh hanya mengharapkan pemain dari Akademi Mokhtar Dahari (AMD) untuk berkembang maju sebaliknya perlu mencari bakat di setiap sudut negeri.

Untuk rekod, Malaysia diundi bersama-sama Thailand, Bangladesh dan Filipina dalam kumpulan H untuk kelayakan Piala Asia B-23. Pusingan kelayakan itu akan diadakan pada 4-12 September 2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram