ENAM gol terhasil di Stadium Darul Aman, Kedah dalam satu aksi Liga Super pada Sabtu, namun ia masih tidak cukup untuk memisahkan Johor Darul Takzim (JDT) dan Kedah Darul Aman (KDA) FC.
Selepas mendahului dengan dua gol menerusi Ifedayo Olusegun dan Manuel Ott, skuad Sang Kenari tampak leka di bahagian pertahanan apabila diikat tidak lama selepas menggandakan kelebihan.
Gerakan kemas daripada pendahulu Liga Super tersebut membolehkan mereka mengikat semula kedudukan dengan Corbin Ong dan Heberty Fernandes mudah menyudahkan peluang masing-masing.
Tidak cukup dengan itu, kealpaan pasukan Utara tanah air itu sekali lagi dihukum apabila mereka gagal menyekat gelecekan licik Arif Aiman Hanapi pada minit ke-74.
Namun, kedua-dua pasukan sekali lagi terikat beberapa minit sebelum wisel penamat ditiupkan selepas pemain gantian KDA FC, Amirbek Juraboev menggegarkan gawang skuad Harimau Selatan.
Keputusan 3-3 itu jelas menggembirakan penyokong bola sepak tempatan yang semestinya tertarik dengan kesungguhan dan semangat yang dipamerkan kesemua pemain di atas padang.
Nafuzi memberi pujian melambung buat anak-anak buahnya untuk aksi bersemangat sepanjang 90 minit permainan. — Facebook/KDA FC
Ia dapat dibuktikan apabila perlawanan berkenaan terus menjadi bahan bualan hangat di media sosial memandangkan orang ramai seperti sukar untuk melupakan pertembungan itu.
Tidak mahu ketinggalan dalam memberikan pandangannya ialah pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris yang sempat meninggalkan satu komen menarik menerusi Instagram peribadinya.
"Mudah-mudahan ke Asia. Semoga menang beberapa baki perlawanan liga," tulisnya sebagai respons kepada hantaran mengenai keputusan akhir perlawanan.
Ketika ini, KDA FC berada di tangga ketiga dalam carta Liga Super dengan hanya lima mata membezakannya dengan pasukan di kedudukan kedua, Selangor FC.
Bagaimanapun, kelebihan pastinya berpihak kepada skuad Sang Kenari memandangkan mereka baru sahaja beraksi sebanyak 21 kali sementara skuad Gergasi Merah sudah mengharungi 22 perlawanan.
Jadi, satu mata yang dibawa pulang di laman sendiri itu pastinya cukup dihargai sekiranya skuad Sang Kenari mahu menempatkan diri dalam slot ke Piala AFC musim depan.
Solari mengakui persembahan JDT ketika separuh masa pertama tidak begitu memberangsangkan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Perasaan itu turut dikongsikan ketua jurulatih KDA FC, Nafuzi Zain yang mengakui dia cukup berbangga dengan komitmen anak-anak buahnya sepanjang 90 minit permainan.
"Bagi saya, perlawanan malam ini (Sabtu) begitu menarik dengan enam jaringan. Apabila anda seri dengan keputusan 3-3 ketika bertemu JDT, sesuatu yang luar biasa untuk musim ini.
"Apa-apa pun, tahniah dan terima kasih untuk pemain kerana kita dapat tengok dari awal sehingga penghujung permainan, intensiti perlawanan cukup tinggi untuk kedua-dua pasukan," katanya kepada Astro Arena selepas perlawanan.
Sementara itu, bagi pengendali JDT, Esteban Solari pula, pihaknya sudah mengetahui bahawa KDA FC akan memberi tentangan hebat melihat kepada aksi-aksi mereka sebelum ini.
"Saya rasa kita memulakan perlawanan dengan baik. Separuh masa pertama kami cuma biasa-biasa sahaja, tetapi sering melakukan kesilapan dalam beberapa aspek.
"Tetapi, kemudiannya, kami menggunakan peluang menerusi 'set-piece' apabila kami menjaringkan gol pertama dan saya berasakan pemain memberi respons cukup baik pada separuh masa kedua," katanya.
Keputusan seri itu menyaksikan skuad Harimau Selatan terpaksa menunggu untuk perlawanan seterusnya untuk ditabalkan sebagai juara Liga Super buat tahun ke-10 berturut-turut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram