JOHOR Darul Takzim (JDT) akan berdepan dua pasukan handalan Asia dari Korea Selatan dan Jepun di peringkat kumpulan saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2023/24 bermula September depan.
Dalam majlis undian di AFC House, Kuala Lumpur pada Khamis, Harimau Selatan diundi dalam Kumpulan I, sekali gus akan bertemu pendahulu K-League 1 (Korea Selatan), Ulsan Hyundai, dan naib juara J1 League (Jepun) musim lalu, Kawasaki Frontale, selain kelab Thailand, BG Pathum United.
Sebagai rekod, JDT turut berdepan Kawasaki Frontale dan Ulsan Hyundai di peringkat kumpulan musim lalu, yang mana mereka muncul juara kumpulan berkenaan selepas mengumpulkan 13 mata hasil empat kemenangan dan satu keputusan seri.
Selain JDT yang sekali lagi akan beraksi dalam saingan ACL 2023/24 ada beberapa bekas pemain import Liga Malaysia (Liga M) turut memeriahkan kejohanan itu untuk edisi kali ini.
Majoriti senaraikan lima bekas pemain import Liga M yang akan beraksi dalam saingan ACL 2023/24 musim ini.
Sebelum meninggalkan Liga Malaysia, Caion beraksi dengan KL City FC.
1. Herlison Caion (Ha Noi FC)
Pernah tersenarai antara penjaring terbanyak Liga Super 2022, Herlison Caion terus cemerlang bersama Ha Noi FC selepas menjaringkan lapan gol, satu assist dalam lapan penampilan dalam V.League 1 (Vietnam) musim ini.
Baru menyertai Hanoi daripada Kuala Lumpur City FC (KL City) pada 24 Jun lalu, Caion tidak mengambil masa yang lama untuk menambat hati penyokong Vietnam.
Meskipun bersama KL City Caion bermula perlahan tetapi ketajaman pemain berusia 32 tahun itu bersama Selangor tidak lagi boleh disangkal.
Ketika mewakili Selangor, Caion menjaringkan 24 gol, tujuh assist dalam 33 penampilan sepanjang menyarung jersi Gergasi Merah pada musim 2022.
Ha Noi yang diundi dalam Kumpulan J akan bertemu Wuhan Three Towns (China), Pohang Steelers (Korea Selatan) dan Urawa Red Diamonds (Jepun).
Hariss (kiri) pernah mewakili JDT manakalah Anumanthan (kanan) beraksi selama semusim untuk KDA FC.
2. Hariss Harun, Anumanthan Kumar (Lion City Sailors)
Penyokong JDT dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pastinya cukup mengenali dua pemain bintang kelahiran Singapura yang pernah menabur bakti buat pasukan masing-masing.
Hariss meninggalkan JDT pada 2021 pernah dilantik sebagai kapten pasukan Harimau Selatan selepas hampir tujuh tahun beraksi bersama kelab itu.
Sepanjang bersama JDT, Hariss melakukan 197 penampilan, bermain 15,367 minit, menjaringkan 12 gol, melakukan lima bantuan jaringan dan sering kali menjadi tonggak utama benteng pertahanan Harimau Selatan.
Manakala jodoh Anumanthan bersama Hijau Kuning hanya bertahan selama satu musim apabila menyertai Kedah pada 2021.
Bersama Kedah, pemain tengah Singapura ini hanya sempat melakukan 21 penampilan dengan satu jaringan gol sebelum memilih untuk kembali ke negara kelahirannya pada 2022.
Anumanthan dan Harris akan bertemu pasukan Jeonbuk Hyundai (Korea Selatan), Bangkok United (Thailand) dan Kitchee FC (Hong Kong) dalam Kumpulan F.
Baas (kiri) dan Dizon (kanan) merupakan pemain nasional Filipina.
3. Curt Dizon, Justin Baas (Kaya FC-Iloilo)
Dua pemain kebangsaan Filipina, Curt Dizon dan Justin Baas juga pernah beraksi dalam Liga M bersama Melaka United dan Penang FC.
Bass merupakan seorang pemain tengah yang pernah direkrut oleh Melaka United pada musim 2022 dan berjaya menjaringkan dua gol dalam 15 penampilan.
Manakala Dizon tidak begitu menyerlah bersama Penang FC apabila hanya tampil dalam satu perlawanan sahaja pada awal musim ini.
Dizon baru menyertai Kaya FC-Iloilo awal bulan ini selepas dilepaskan Harimau Kumbang semasa jendela perpindahan kedua Liga M.
Kaya FC-Iloilo diundi dalam Kumpulan G bersama Yokohama F.Marinos (Jepun), Shandong Taishan (China) dan Incheon United (Korea Selatan). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram