KEDAH Darul Aman FC (KDA FC) berjaya menangguhkan hasrat Johor Darul Takzim (JDT) untuk meraikan kejuaraan Liga Super yang ke-10 selepas kembali bangkit mengikat Harimau Selatan dengan keputusan 3-3 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah pada Sabtu.
Ifedayo Olusegun berjaya membuatkan penjaga gol JDT, Syihan Hazmi tersentak pada minit ke-35 dengan tandukan yang menerjah masuk ke dalam gawang gol Harimau Selatan.
Anak-anak buah Nafuzi Zain jelas mendominasi perlawanan pada separuh masa pertama apabila sering menghadirkan serangan berbahaya di kubu pertahanan JDT.
Tamat separuh masa pertama, keputusan memihak kepada tuan rumah dengan jaringan 1-0.
Bersambung babak kedua, kecemerlangan Hidalgo berjaya membuka ruang buat Manuel Ott untuk menambah duka JDT pada minit ke-49.
Ifedayo menjadi penjaring pertama yang membuka akaun jaringan dalam perlawanan Kedah dan JDT.
Corbin Ong menjadi watak kebangkitan JDT apabila menjaringkan gol menerusi tandukan pada minit ke-52 permainan.
Namun tidak lama kemudian JDT dilihat kembali semula dalam permainan selepas pemain import Brazil, Heberty Fernandes berjaya menyamakan kedudukan apabila menerjah gawang gol Kedah yang cemerlang dijaga Ifwat Akmal pada minit ke-55.
Pada minit ke-73, Arif Aiman yang senyap pada separuh masa pertama berjaya memecah kebuntuan JDT selepas melepasi tiga pemain pertahanan Sang Kenari.
Tidak berputus asa, Kedah sekali lagi memeriahkan suasana stadium apabila pemain gantian, Amirbek Juraboev berjaya membuatkan Syihan tertunduk selepas menjaringkan gol pada minit ke-94.
Jaringan Kedah itu disusuli dengan insiden panas di bangku simpanan Kedah apabila pihak JDT tidak berpuas hati dengan cara pengurus Sang Kenari meraikan gol.
Tamat perlawanan keputusan kekal 3-3 sekali gus JDT terpaksa menangguh bermain bunga api untuk meraikan kejuaraan Liga Super ke-10 musim ini.
Riak wajah pemain JDT juga ternyata tidak kecewa meskipun mereka tidak tewas dalam perlawanan itu.
Pemain-pemain Kedah meraikan jaringan Ott. — Facebook/Kedah Darul Aman FC
Namun, lain pula bagi penyokong-penyokong Kedah apabila mereka berpuas hati kerana mengetahui betapa sukar untuk pasukan Liga Malaysia kembali menyamakan kedudukan jika bertemu JDT.
"Tak berkelip mata tengok game malam ini (Sabtu) padu, tahniah Kedah dan JDT, tahniah pengadil tak merosakkan perlawanan," kata Muhamad Maher.
"Alhamdulillah, padanan pemain nampak gandingan terbaik, cuma konsisten dan passion untuk menang perlu melekat dalam jiwa setiap pemain," jelas Mohd Ridhuan.
"Semoga teruskan momentum untuk bergelar naib Juara Liga Super," ujar InfoZon Tgg.
"Hidalgo malam ini (Sabtu) memang padu, takut musim depan dah sampai JDT, harap pihak pengurusan dapat ikat dia betul-betul," luah Mohd Ridhuan.
Musim ini, Kedah menjadi satu-satunya pasukan yang berjaya mencuri mata ketika bertemu JDT dan ini akan membuka lagi ruang Sang Kenari untuk bergelar naib juara Liga Super. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram