DUA kemenangan dalam lima perlawanan Liga Super terakhir ke atas Kuching City FC dan Penang FC memberi satu sinar harapan buat penyokong setia Perak FC.
Meskipun mengalami kekalahan baru-baru ini kepada Johor Darul Takzim (JDT) dengan keputusan 0-5, ia seperti tidak memberi kesan buruk terhadap moral pemain.
Ia berikutan kejayaan pasukan Utara tanah air tersebut untuk menempah tiket ke suku akhir Piala Malaysia selepas menyingkirkan Kedah Darul Aman (KDA) FC dengan agregat 4-3.
Pencapaian berkenaan sudah pasti menggembirakan penyokong skuad The Bos Gaurus (TBG) memandangkan pasukan berkenaan memulakan kempen kali ini dengan sedikit perlahan.
Selain itu, Perak FC juga tidak dilihat sebagai sebuah pencabar sebenar musim ini selepas baru sahaja menyertai Liga Super dari Liga Perdana 2022.
Kehilangan Shivan dikhuatiri akan mengganggu kestabilan benteng pertahanan skuad TBG. — Facebook/Perak FC
Prestasi memberangsangkan itu semestinya diharapkan untuk diteruskan bagi membolehkan pasukan berkenaan melabuhkan tirai musim di kedudukan lebih baik.
Namun, harapan tersebut seperti sukar untuk direalisasikan apabila skuad TBG bakal berdepan Kuala Lumpur (KL) City FC dalam aksi Liga Super pada Ahad.
Pertembungan yang dijadualkan berlangsung di Stadium Ipoh, Perak itu pastinya akan memberi cabaran tersendiri apabila pasukan Lembah Klang itu sudah berada di tahap tersendiri.
Lebih merisaukan lagi, skuad Seladang terpaksa turun tanpa kelibat bek tengah, Shivan Pillay yang difahamkan digantung selepas mengumpul tiga kad kuning.
Hal itu disampaikan pengendali Perak FC, Yusri Che Lah yang berharap import kelahiran Nigeria, Sunday Afolabi mampu mengisi kekosongan ditinggalkan.
Sunday sudah menjadi nadi utama skuad TBG sejak tiba musim lalu. — Facebook/Perak FC
"Kita kehilangan Shivan akibat penggantungan. Tempatnya akan diisi pemain lain yang sebenarnya kami masih mencari calon terbaik.
"Tetapi, sesiapa sekali pun yang dipilih, dia perlu memberikan persembahan sebaik mungkin di laman sendiri. Jika kapten KL City FC, Paulo Josue beraksi, Sunday perlu berada dekat dengannya," katanya.
Umum mengetahui bahawa Sunday merupakan seorang pemain yang mampu beraksi di beberapa posisi, termasuk sebagai seorang bek tengah atau pemain tengah bertahan.
Kebolehannya untuk melakukan asakan bersih kepada pihak lawan pastinya diperlukan untuk aksi di hadapan penyokong sendiri, lebih-lebih lagi untuk menutup hantaran dan gerakan Paulo Josue.
Ketika ini, skuad TBG berada di tangga ke-11 Liga Super dengan tiga mata membezakan mereka dengan pasukan di atasnya, Penang FC yang sudah mengumpul 19 mata.
Bagi skuad Warga Kota pula, mereka dilihat sudah semakin selesa untuk menamatkan saingan liga di kedudukan lebih baik dengan pasukan itu kini berada di tangga ketujuh.
Tetapi, kemenangan buat mana-mana pasukan tidak akan mengubah posisi mereka dalam carta, namun ia mampu memberi satu ruang keselesaan memasuki penghujung musim. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram