KEKALAHAN memalukan 0-10 di tangan Johor Darul Takzim (JDT) memberi tamparan hebat buat Kelantan FC dan pastinya aksi kedua Pusingan 16 Piala Malaysia itu akan kekal menjadi detik bersejarah skuad The Red Warriors (TRW) untuk musim ini.
10 jaringan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor pada Sabtu itu disumbangkan menerusi hatrik daripada Bergson Da Silva dan dua gol daripada pemain baharu dari Jepun, Takehiro Kunimoto.
Gol-gol lain dijaringkan oleh pemain tengah Sepanyol, Juan Muniz pada minit ke-54; ubi muda, Daryl Sham George (59’); penyerang Brazil, Heberty Fernandes (60’), tonggak sayap, Arif Aiman Hanapi (63’) dan Aysar Hadi Shapri pada minit ke-92.
Rentetan kekalahan tersebut dan kemerosotan prestasi dalam saingan Liga Super itu, penyokong TRW berancang untuk melaksanakan perhimpunan aman bertujuan memboikot pemilik kelab tersebut, Norizam Tukiman.
Tangkap layar tinjauan boikot perlawanan Kelantan yang dibuat laman Twitter, Berita Bola Kelantan.
Selain daripada menolak pentadbiran Norizam ataupun lebih mesra dengan sapaan Zamsaham itu, sebahagian penyokong juga mahu memboikot kehadiran ke stadium dan tidak ingin menyokong TRW dalam aksi Kelantan seterusnya.
Protes aman tersebut difahamkan akan diadakan pada 25 Ogos ini di depan Stadium Sultan Muhammad IV (SSMIV), Kota Bharu sebelum perlawanan Liga Super menentang Selangor FC bermula pada pukul 9 malam.
Hakikatnya, Kelantan FC bukanlah pasukan pertama yang menerima protes daripada penyokong berikutan sebelum ini terdapat beberapa kelab Liga Malaysia (Liga M) melalui perkara sama;
Berikut tiga kelab yang pernah diboikot oleh penyokong sendiri ketika saingan liga masih berlangsung;
1) Penang FC
Laman penyokong Harimau Kumbang, Penang Brotherhood pernah menyeru penyokong yang lain untuk menggunakan baju putih sebagai tanda protes pada pasukan Penang FC. — Facebook/Penang Brotherhood
Penyokong Penang FC pernah melakukan protes secara aman yang dikenali sebagai 'White Day' sebagai tanda ketidakpuashatian dengan penurunan prestasi Harimau Kumbang pada Julai musim lepas.
Protes yang dibuat pada aksi Liga Super menentang Sarawak United itu menyeru pemain ke-12 Harimau Kumbang untuk turun ke Stadium Bandaraya, George Town dengan memakai baju putih sebagai tanda protes.
Bertambah luka penyokong Harimau Kumbang apabila ketika protes aman tersebut berlangsung, skuad kendalian Datuk Zainal Abidin Hassan tewas 2-3 di tangan Sarawak United FC.
Musim 2022 menyaksikan kelab berpangkalan di Utara tanah air itu menduduki tempat tercorot liga dengan hanya merekodkan dua kemenangan, lima seri dan 15 kalah sepanjang 22 aksi diadakan.
Seperti mengulang skrip sama, Penang FC musim ini masih dihimpit dengan masalah prestasi yang mana berada pada kedudukan ke-11 liga dan merekodkan 19 mata dalam 19 aksi setakat ini.
2) Negeri Sembilan FC (NSFC)
Penyokong NSFC semakin penat dengan masalah prestasi skuad Jang musim ini. — Facebook/NSFC
Berbeza dengan suasana protes Penang FC, hampir 200 penyokong Negeri Sembilan pernah berkumpul di luar Stadium Hang Jebat bagi meluahkan rasa tidak puas hati selepas kalah 0-2 di tangan Melaka United (MU) pada musi 2016.
Kumpulan penyokong berkenaan berhimpun di luar pagar stadium berhampiran bas pemain sambil menyanyi beramai-ramai dengan nada kecewa atas prestasi hambar namun diarah beredar oleh pasukan keselamatan.
Mereka berarak ke laluan bas keluar dan menyanyi beramai-ramai hampir 10 minit namun sekali lagi penyokong berkenaan diarah meninggalkan lokasi berkenaan dan beredar dari kawasan stadium secara aman.
Musim ini, pemain ke-12 skuad Jang juga terpaksa menyaksikan pasukan tersebut dibelenggu masalah prestasi apabila hanya mencatat 21 mata dari 20 perlawanan Liga Super.
3) Perak FC
Penyokong Seladang pernah mengancam untuk mengosongkan stadium. — Facebook/PerakFC
Pada April lalu, penyokong Perak FC pernah mengugut pengurusan The Bos Gaurus (TBG) untuk mengosongkan stadium selepas mengalami penurunan prestasi di bawah kendalian Datuk Lim Teong Kim pada April lalu.
Ketika itu, kekalahan demi kekalahan dialami skuad Seladang membuatkan penonton mula muak dengan alasan 'trust the process' yang diberikan Teong Kim sehingga laungan #LTKout sering bergema di media sosial.
Hasrat penyokong didengari pihak pengurusan apabila Perak FC membuat keputusan drastik memecat Teong Kim daripada jawatan ketua jurulatih pasukan berkenaan dan digantikan dengan Yusri Che Lah.
Di bawah kendalian Yusri, penyokong Perak mula tersenyum selepas pengendali itu membawa TBG ke saingan suku akhir Piala Malaysia selepas menumpaskan Kedah Darul Aman (KDA) dalam pusingan 16 kejohanan itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram