MUSIM ini menyaksikan beberapa pasukan Liga Super menunjukkan kekuatan mereka dengan merekodkan jumlah jaringan yang banyak dan sekali gus berhasrat untuk memegang rekod tersebut sehingga saingan liga berakhir.
Seperti baru-baru ini, pasukan gergasi tanah air, Johor Darul Takzim (JDT) menjadi satu-satunya pasukan yang meledak 10 jaringan gol berbalas kosong dari pihak lawan untuk satu perlawanan.
Rekod cemerlang tersebut dicipta ketika aksi timbal balik menentang Kelantan FC pagi pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor pada Ahad lalu.
Bagi saingan Liga Super pula, Terengganu FC (TFC) mencipta rekod tersendiri apabila menjadi pasukan yang merekodkan jumlah jaringan terbanyak apabila membelasah The Red Warriors (TRW) 8-0 dalam perlawanan di Stadium Sultan Muhammad IV pada Isnin.
Namun hakikatnya, kenduri gol yang direkodkan dalam satu perlawanan itu akhirnya bukanlah menjadi ukuran kecemerlangan pasukan sekiranya mereka gagal untuk menjulang trofi Liga Super.
Dalam tiga musim kebelakangan ini, tiga buah pasukan Liga Super mempunyai rekod tersendiri dengan kemenangan besar namun di penghujung kejuaraan liga utama itu, mereka masih mendakap trofi berkenaan;
1) Selangor FC 7-0 SUFC (19 Jun 2022)
Selangor akhiri liga musim 2022 dengan menghuni kedudukan kelima. — Agensi
Selangor FC menjadi satu-satunya pasukan yang meledak tujuh jaringan gol pada musim lepas dan pesta gol Gergasi Merah itu berlangsung ketika membelasah Sarawak United FC (SUFC) 7-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 19 Jun 2022.
Malam tersebut menjadi memori terindah untuk ketua pasukan Gergasi Merah, Brendan Gan apabila mencetak jaringan pembukaan dalam penampilan pertamanya bagi musim 2022 selepas berjuang dengan kanser testis yang dialaminya sebelum itu.
Penjaring lain Selangor ketika itu ialah Herlison Caion, yang menjaringkan hatrik pada minit ke-45, 74 dan ke-88. Hyuri Henrique (ke-23), Norhakim Hassan (ke-51) dan Aliff Haiqal Lau pada minit ke-92.
Namun episod akhir Gergasi Merah untuk musim 2022 menyaksikan mereka hanya menghuni kedudukan kelima liga dengan hanya mengumpul 30 mata dari lapan kemenangan, enam seri dan lapan tewas.
2) Terengganu 5-0 Perak FC (24 Julai 2021)
TFC berada di tempat keempat dalam saingan liga 2021. — Agensi
Sebelum jaringan 8-0 ke atas Kelantan baru-baru ini, kali pertama Terengganu merekodkan kemenangan besar semasa menumpaskan Perak FC 5-0 dalam saingan Liga Super musim 2022 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Nerus.
Kenduri gol ke atas The Bos Gaurus (TBG) memperoleh gol menerusi Faisal Halim, David Da Silva, Hakimi Abdullah, Nik Akif Syahiran dan jaringan sendiri dari pertahanan Perak, Charles Machell menambah duka dalam kes The Bos Gaurus (TBG).
Terengganu yang ketika itu dibimbing oleh jurulatih muda, Nafuzi Zain semakin menunjukkan kualitinya sebagai pengendali dan di bawah kendaliannya, skuad Sang Penyu juga berhasil menewaskan JDT 1-0 pada 24 April 2021.
Meskipun menunjukkan peningkatan di bawah falsafah 'Nafuzi Ball' namun Terengganu gagal untuk meraih trofi kejuaraan Liga Super pada musim 2021 dan rekod terbaik kelab Pantai Timur itu dalam tiga tahun kebelakangan ini ialah menjadi naib juara liga.
Selain itu, TFC juga dinobatkan sebagai naib johan bagi saingan Piala FA 2022 selepas tewas 1-3 dalam aksi final yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada September tahun lepas.
3) Perak 5-1 Felda United (25 September 2020)
Shahrel meledak tiga jaringan gol dalam aksi tersebut. — Agensi
Walaupun kini pasukan Perak FC berada dalam kategori pasukan belasahan namun skuad The Bos Gaurus (TBG) juga pernah mempunyai sejarah tersendiri memenangi beberapa kejohanan dengan kali terakhir mengangkat piala pada musim 2018.
Pada musim tersebut, skuad Seladang menamatkan kemarau 18 tahun trofi Piala Malaysia dengan penuh dramatik selepas perlawanan diheret ke penentuan penalti dan TBG menang 4-1 ke atas Terengganu FC.
Selain itu, Perak juga pernah menang dengan jumlah jaringan besar apabila membaham Felda United FC 5-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Perak, Ipoh pada 25 September pada musim 2020.
Ketika itu, penyerang tempatan, Shahrel Fikri Md. Fauzi menyumbang empat gol buat Perak FC dan satu lagi jaringan gol diberi Guilherme de Paula.
Walaupun merekodkan jumlah jaringan yang banyak namun musim 2020 itu menyaksikan Perak menghuni kedudukan keempat dalam saingan liga selepas hanya 11 perlawanan diadakan ekoran penularan Covid-19. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram