KELANTAN FC terus berada dalam jurang gelap bola sepak negara apabila disingkirkan daripada saingan Piala Malaysia dengan agregat 15-1 kepada Johor Darul Takzim (JDT).
Kekalahan 0-10 yang dialami di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Sabtu pastinya akan meninggalkan luka yang dalam buat penyokong kelab Pantai Timur itu.
Manakan tidak, mereka yang kini berada di kedudukan kedua tercorot Liga Super mengalami satu musim amat mengecewakan dengan masalah pengurusan terus meruncing di luar padang.
Isu tunggakan gaji, pertelingkahan di sebalik tabir dan pelbagai isu lagi merupakan antara hal-hal mendukacitakan yang mewarnai Kelantan FC musim ini.
Jadi, dalam usaha untuk menyelesaikan kemelut tersebut, penyokong skuad The Red Warriors (TRW) mula mencadangkan agar pasukan terbabit menarik diri daripada saingan Liga Super akan datang.
Saranan itu dibuat untuk memberikan ruang kepada pihak pengurusan untuk menyelesaikan isu-isu berbangkit sebelum mereka dapat kembali bersaing dalam divisyen tertinggi bola sepak negara.
Namun, sekiranya Kelantan FC memilih untuk menyertai Liga M3 musim depan, beberapa kerugian pastinya dialami kelab itu dengan kehilangan pemain muda merupakan antara kesan terbesar akan dihadapi.
Melihat kepada beberapa perlawanan kebelakangan ini, skuad TRW terpaksa menurunkan pemain daripada skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kelab akibat pemergian sebahagian besar tonggak utama pasukan.
Tetapi, di sebalik ubi-ubi muda yang diberikan minit permainan, terdapat sebilangan daripada mereka yang menampilkan aksi terbaik setiap kali berada di atas padang.
Oleh itu, jika Kelantan FC terpaksa bermain dalam saingan Liga M3 2024, tiga pemain bersinar dijangka akan disambar kelab tempatan yang lain dengan Perak FC, Terengganu FC dan Sri Pahang FC boleh dianggap sebagai antara destinasi terbaik
1. Johan Shahzidane Tendot (Sri Pahang FC)
Musim ini, skuad TRW sering melakukan penggiliran terhadap posisi penjaga gol dengan Nik Amin Ahmad, Farhan Abu Bakar dan Rozaimi Rahamat pernah diberikan minit permainan.
Namun, selepas jendela perpindahan kedua yang lalu, Kelantan FC terpaksa menggunakan khidmat penjaga gol muda, Johan Shahzidane Tendot dengan pemain senior difahamkan sudah menamatkan kontrak masing-masing.
Dia yang dibawa masuk dari skuad B-23 pasukan menampilkan beberapa aksi cemerlang dengan melakukan terjahan berani untuk menidakkan percubaan pihak lawan.
Kelantan FC memberikan Johan untuk beraksi dengan lebih kerap ketika ini. — Facebook/TRW Kelantan FC
Meskipun kehadirannya masih belum mampu untuk memperbaiki isu kegoyahan benteng pertahanan pasukan, ia tidak menghalang segelintir penyokong untuk memberikan pujian terhadapnya.
Jadi, sekiranya Kelantan FC gagal mengubah nasib dalam Liga Super, ia akan menjadi satu kerugian buat Johan jika dia memilih untuk setia bersama skuad TRW dan beraksi di liga bawahan.
Untuk menyambung kariernya dalam divisyen teratas bola sepak tanah air, penjaga gawang itu boleh memilih untuk mencari mana-mana kelab baharu.
Sri Pahang FC dilihat sebagai destinasi terbaik buat pemain muda terbabit meskipun pasukan berkenaan tidak mempunyai isu besar dari segi pertahanan.
Namun, dengan prestasi tidak menentu Izham Tarmizi serta usianya yang semakin lanjut, kehadiran Johan dapat memberi saingan di posisi terbabit.
Selain itu, pemain berjersi no 76 itu turut berpeluang menimba pelbagai pengalaman sekiranya menyertai skuad Tok Gajah apabila dia akan bekerjasama di samping Izham serta Zarif Irfan Hashimuddin.
2. M Rakesh (Terengganu FC)
Umum mengetahui bahawa Kelantan FC kini memegang rekod paling buruk dari segi jumlah gol dibolosi apabila sudah melepaskan 76 gol daripada 20 perlawanan Liga Super.
Kualiti pemain dan pendekatan taktikal yang kurang memberi penekanan terhadap isu itu menyaksikan isu tersebut meleret bermula dari awal musim.
Bagaimanapun, ia tidak menghalang beberapa pemain untuk menampilkan aksi terbaik, sekali gus menaikkan nama mereka sendiri dalam kalangan penyokong bola sepak tanah air.
Antara yang mengambil peluang itu adalah seorang lagi permata muda skuad TRW, M Rakesh yang turut dibawa masuk selepas mengumpul minit permainan bersama pasukan belia.
Rakesh kerap memberikan aksi terbaik setiap kali diturunkan. — Facebook/TRW Kelantan FC
Meskipun tidak mempunyai struktur fizikal yang memberangsangkan, kebolehannya untuk membaca gerakan pemain sering mencuri perhatian orang ramai.
Untuk rekod, Rakesh sudah mengumpul enam penampilan dalam Liga Super dengan kebolehannya untuk beraksi di beberapa posisi memberi kelonggaran buat pengendali pasukan.
Selain boleh diturunkan sebagai bek tengah, Rakesh juga selesa bermain sebagai seorang bek kiri dengan kebolehannya untuk melakukan hantaran turut menjadi salah sebuah kelebihannya.
Jadi, sekiranya Kelantan FC gagal menghalang nasib mereka daripada tersingkir ke Liga M3, pemain terbabit disarankan mencari angin baharu dalam kariernya.
Sebuah lagi kelab Pantai Timur, Terengganu FC dilihat sebagai salah satu pilihan terbaik buatnya memandangkan pasukan itu turut berdepan sedikit masalah di posisi berkenaan.
Kehadirannya akan memberi satu dimensi baharu buat skuad kendalian Tomislav Steinbruckner dengan Alif Zakaria dan Arif Fadzilah menjadi pilihan untuk diturunkan sebagai seorang bek kiri.
3. Fazrul Amir Zaman (Perak FC)
Sejak awal musim lalu, nama Fazrul Amir Zaman terus dikaitkan dengan beberapa pasukan tempatan, terutamanya Kedah Darul Aman (KDA) FC.
Selain bijak menggunakan tubuh badannya yang kecil, pemain berusia 23 tahun itu juga selesa untuk beraksi sebagai pemain sayap kiri dan kanan.
Jadi, tidak hairanlah sekiranya Fazrul Amir merupakan antara tonggak utama buat skuad TRW apabila khidmatnya mula ditagih pasukan terbabit sejak awal musim.
Meskipun gagal memberikan impak konsisten di hadapan pintu gol, dua jaringan peribadi yang diperolehinya menaikkan namanya sebagai salah seorang bintang baharu negara.
Fazrul Amir sudah menjaringkan dua gol Liga Super bersama skuad TRW. — Facebook/TRW Kelantan FC
Oleh itu, ia akan menjadi satu kerugian sekiranya Fazrul Amir memilih untuk kekal bersama Kelantan FC dengan bakatnya hanya akan disia-siakan.
Berdasarkan pemerhatian terhadap pasukan-pasukan dalam Liga Super, KDA FC tidak lagi menjadi destinasi utama buat pemain terbabit sekiranya jendela perpindahan dibuka.
Tetapi, anak jati Kelantan itu disarankan untuk menyertai Perak FC yang ketika ini sedang mengalami perubahan positif di bawah kendalian Yusri Che Lah.
Kebolehannya untuk memberi ancaman di posisi sayap akan memberikan satu bentuk serangan baharu buat skuad The Bos Gaurus (TBG) yang sering bergelut untuk mendapatkan jaringan.
Selain itu, kelab berkenaan juga dilihat sesuai untuknya memandangkan pihak kejurulatihan pasukan sering memberikan minit permainan buat pemain tempatan yang sedang meningkat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram