BARU-BARU ini, tular di media sosial sebuah video pendek memaparkan seorang penyokong cilik Perak FC yang cukup bersemangat memberi sorakan buat pasukan kesayangannya itu.
Apa yang menarik adalah apabila peminat setia tersebut berkelakuan demikian ketika menonton perlawanan Piala Malaysia antara skuad The Bos Gaurus (TBG) dan Kedah Darul Aman (KDA) FC menerusi kaca televisyen di rumahnya sendiri.
Tidak cukup dengan itu, video pendek itu turut memaparaknnya memakai mafla pasukan Utara tanah air berkenaan di samping menggunakan senduk kayu serta kotak kosong sebagai dram seperti mana sering dilakukan di stadium.
Klip berkenaan mula tular di media sosial memandangkan Perak FC mencipta kejutan menyingkirkan lawan mereka itu, sekali gus menempah tiket ke suku akhir Piala Malaysia.
Jadi, memandangkan video terbabit sudah disaksikan ribuan peminat bola sepak tempatan, kelab itu memilih untuk memberikan penyokong muda terbabit satu bentuk penghargaan yang pastinya sukar dilupakan.
Berdasarkan satu perkongsian di laman media sosial kelab, individu dalam video tular itu ialah Muhammad Khalil Zarif atau juga lebih dikenali sebagai MOMAD.
Dia yang masih bersekolah di Sekolah Kebangsaan Sg Rokam, Ipoh, Perak diberi kejutan tersendiri apabila berpeluang bertemu dua tonggak utama skuad TBG, Wan Zack Haikal Wan Noor serta Luciano Guaycochea.
Muhammad Khalil tidak dapat menahan rasa terujanya ketika bertemu dua tonggak skuad Perak FC itu.
Pertemuan itu menyaksikan Muhammad Khalil tidak dapat menahan sebak sehingga mengalirkan air matanya di hadapan kedua-dua pemain tersebut serta rakan sekelasnya.
Lebih menarik lagi, dia turut diberikan jersi skuad TBG dengan nama Guaycochea terpampang di bahagian belakang yang mana pastinya cukup istimewa buat penyokong cilik tersebut.
Lawatan berkenaan turut disertai beberapa staf Perak FC yang lain dengan kakitangan sekolah itu juga seperti tidak mahu ketinggalan bertemu dua tonggak kelab itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram