[VIDEO] Gelagat Mane terkejut nampak kembar rakan sepasukan curi perhatian


  • Podium
  • Sabtu, 26 Ogos 2023

Sadio Mane sudah menjadi antara tonggak utama Al Nassr sejak tiba ketika jendela perpindahan yang lalu. — Agensi

PENCABAR takhta Liga Pro Arab Saudi musim ini, Al Nassr mula mendapatkan rentak apabila mudah menewaskan lawan mereka, Al Fateh dalam satu perlawanan di tempat lawan pada Sabtu.

Kemenangan di Stadium Prince Abdullah Jalawi, Arab Saudi itu jelas memberi satu suntikan semangat buat pasukan tersebut yang memulakan kempen kali ini dengan langkah kiri apabila tewas dalam dua perlawanan awal.

Namun, skuad kendalian Luis Castro itu nampaknya sudah kembali meraih momentum apabila mudah mencatatkan kemenangan bergaya 5-0 untuk mendaki ke tangga ke-10 liga.

Hatrik daripada kapten pasukan, Cristiano Ronaldo dan dua gol daripada penyerang sayap, Sadio Mane memastikan tiga mata milik Al Nassr dengan Al Fateh dilihat tidak bermaya untuk membalas serangan demi serangan.

Bagaimanapun, di sebalik kejayaan itu, momen mencuit hati Mane lebih menarik perhatian penyokong ketika dia saling bersalam-salaman dengan pemain lawan sebelum perlawanan dimulakan.

Pemain kebangsaan Senegal tersebut dilihat tersenyum sambil menyapa skuad Al Fateh, namun tiba-tiba terkejut apabila bertemu bek tengah mereka, Qasem Lajami.

Insiden itu berlaku memandangkan pemain pertahanan tersebut merupakan kembar kepada pertahanan Al Nassr, Ali Lajami, namun hal tersebut tidak diketahui Mane.

Tetapi, kejutan tersebut jelas tidak mengganggu fokus bekas penyerang Liverpool itu apabila dia beraksi cemerlang bagi memastikan kemenangan berpihak kepada pasukannya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram