BINTANG Al-Nassr, Cristiano Ronaldo sekali lagi menjadi perhatian ramai apabila dia didapati mengamuk sewaktu perlawanan play-off Liga Juara-Juara AFC (ACL).
Bertemu Shabab Al-Ahli dari Emeriah Arab Bersatu (UAE), Ronaldo yang merupakan ketua pasukan nyata kecewa dengan mutu pengadilan perlawanan tersebut walaupun Al-Nassr berjaya menang menerusi jaringan 4-2.
Sekurang-kurangnya Ronaldo terlibat dalam tiga situasi yang menyaksikan pengadil perlawanan menafikan peluang Al-Nassr untuk mendapatkan sepakan penalti. Kejadian pertama berlaku pada minit kesembilan apabila bintang Portugal itu dijatuhkan oleh Saeed Sulaiman dan Bogdan Planic serentak.
Insiden kedua berlaku ketika masa kecederaan separuh masa pertama apabila sewaktu Ronaldo ingin merebut bola di udara, bola terkena tangan Sulaiman sewaktu dia hendak melakukan percubaan. Namun begitu, pengadil sekali lagi tidak mengendahkan aduan mantan bintang Real Madrid itu.
Kemuncak amarah Ronaldo hadir selepas dia dijatuhkan dalam kotak penalti tidak lama selepas insiden kedua berlaku. Sewaktu hendak menggelecek masuk menuju ke arah gol, pemain tersebut dijatuhkan oleh mantan kapten Crystal Palace, Luka Milivojevic.
Walaupun ia kelihatan jelas dan nyata Ronaldo dijatuhkan, namun pengadil tetap menafikan perkara itu dan ini telah membuatkan dia naik angin ketika wisel separuh masa pertama ditiupkan.
Sewaktu menuju ke bilik persalinan, Ronaldo secara jelas menjerit "wake up! wake up!" (bangun! bangun!) kepada pengadil sebelum menolak seorang individu yang cuba berswafoto dengannya.
Walaupun berang dengan keputusan pengadil yang tidak menyebelahi dia dan Al-Nassr, Ronaldo tetapi mempamerkan persembahan baik bagi membantu kelabnya mara ke peringkat kumpulan ACL.
Persembahan Ronaldo dan rakan-rakan berjaya untuk membolehkan Al-Nassr menewaskan Shabab Al-Ahli dengan keputusan 4-2 selepas kelab Arab Saudi itu bangkit daripada ketinggalan 2-1 pada awal separuh masa kedua.
Perlawanan bermula baik untuk Al-Nassr apabila Talisca menanduk masuk sepakan penjuru pada minit ke-11 sebelum Yahya Al-Ghassani menyamakan kedudukan tujuh minit kemudian.
Talisca menjaringkan dua gol untuk membantu Al-Nassr meraih kemenangan. — Facebook/Al Nassr
Separuh masa kedua bermula dengan tidak baik buat Al-Nassr apabila Ghassani meletakkan Shabab Al-Ahli di depan seminit selepas sepak mula.
Namun begitu, disaat Shabab Al-Ahli berasa kemenangan akan tiba untuk mereka, Al-Nassr bangkit pada minit-minit akhir untuk memperoleh kemenangan.
Sultan Al-Ghannam menyamakan kedudukan pada minit ke-88 sebelum dua jaringan di masa kecederaan mengesahkan kemenangan Al-Nassr.
Talisca menyumbat gol ketiga untuk wakil Arab Saudi itu sebelum Marcelo Brozovic merembat kencang bola dengan kaki kiri hasil daripada umpanan Ronaldo.
Kemenangan Al-Nassr melayakkan mereka ke peringkat kumpulan ACL bersama-sama Navbahor (Uzbekistan), AGMK (Uzbekistan) dan Sharjah (UAE) zon Barat. Manakala Urawa Red Diamonds (Jepun), BG Pathum (Thailand), Incheon United (Korea Selatan) dan Zhejian FC (China) mara untuk zon Timur. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram