'Kpah seorang saja boleh harap', fans tertanya mana import baharu Sri Pahang


  • Podium
  • Isnin, 21 Ogos 2023

Jaringan Kpah Sherman memastikan Sri Pahang ke suku akhir Piala Malaysia 2023. — Facebook/MFL

PASUKAN Sri Pahang FC layak ke suku akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Harini Selangor FT 2-0 pada aksi kedua pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, Pahang pada Ahad.

Kemenangan itu membolehkan skuad kendalian Fandi Ahmad menewaskan wakil kelab Liga M3 5-2 secara agregat selepas menang 3-2 pada perlawanan pertama, 4 Ogos lalu.

Dalam perlawanan tersebut, hasil sentuhan Kpah Sherman yang mencetak dua jaringan sekali gus meletakkan Pahang selangkah ke suku akhir Piala Malaysia.

WhatsApp Image 2023-08-21 at 15.46.53

Kpah Sherman cetak dua gol untuk Sri Pahang. — Facebook/MFL

Dalam pada itu, gol pertama yang diledak oleh Kpah Sherman pada minit ke-42 disifatkan seperti sepakan gunting ala Cristiano Ronaldo yang cukup sinonim dengan aksi tersebut.

Jaringan cantik tersebut bukan sahaja mengejutkan penyokong namun turut membuat penjaga gol Harini FC, Hafizul Hakim terkejut dengan sepakan tersebut.

Kpah Sherman tanpa berfikir panjang terus melakukan lipatan selepas Baqiuddin Shamsudin membuat hantaran bola tinggi ke arah pemain kelahiran Liberia itu menerusi tandukan.

Oleh itu, terdapat penyokong yang mengharapkan agar pihak pengurusan Sri Pahang mampu menjaga penyerang tersebut dengan baik.

"Tolong jaga dia ni, sudah lah dia saja yang diharapkan oleh Pahang untuk score gol.

"Jangan nak jadi macam import yang sebelum ini.

"Kepada pihak pengurusan Pahang, cepat-cepatlah belajar macam mana JDT sekarang, please sampai bila nak hampakan peminat Pahang," kata @nuzul8581.

"Cantiklah sepakan gunting gol Kpah," kata @aplez_shah.

Kpah Sherman kini telah menjaringkan 12 gol dalam 23 perlawanan bersama Sri Pahang dan dua darinya daripada saingan Piala Malaysia.

Pahang akan menerima kunjungan Kuala Lumpur City FC bagi peringkat suku akhir Piala Malaysia pada 23 September depan.

Untuk rekod, pada jendela perpindahan kedua musim ini, Sri Pahang membawa masuk dua import iaitu pemain tengah dari Uzbekistan, Kuvondik Ruziev dan penyerang kelahiran Brazil, Rafael da Silva untuk memperkuatkan lagi skuad Tok Gajah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram