Dah tak peduli anugerah individu, Messi mahu bersantai-santai lepas menang Piala Dunia


  • Podium
  • Jumaat, 18 Ogos 2023

Lionel Messi kini berasakan dirinya lebih tenang dan gembira bermain di Amerika Syarikat bersama Inter Miami. — Agensi

BINTANG Inter Miami, Lionel Messi mengatakan yang dia kini sudah tidak peduli dengan segala anugerah individu yang wujud dalam dunia bola sepak ini.

Pemenang Ballon d'Or sebanyak lapan kali itu baru-baru ini tercalon dalam anugerah UEFA Men's Player of the Year bersama-sama arkitek Manchester City, Kevin de Bruyne dan penyerang berbisa Erling Haaland.

Bercakap kepada media menjelang perlawanan akhir Leagues Cup menentang Nashville SC, walaupun Messi sudah menerima pelbagai anugerah individu tetapi dia tetap lebih menghargai kejayaan secara kolektif bersama-sama setiap pasukan diwakilinya.

Messi sudah semakin tidak hirau akan kejayaan individu selepas dia berjaya mencapai kejayaan bersama-sama Argentina dalam Piala Dunia di Qatar.

"Saya rasa sudah banyak kali saya katakan sepanjang karier saya, Ballon d'Or adalah satu anugerah yang amat penting kerana prestijnya. Kerana sifat prestij itu, ia adalah salah sebuah anugerah yang cukup hebat untuk peringkat individu.

"Tetapi saya tidak utamakan sangat kepentingan anugerah individu. Apa yang paling penting adalah anugerah kolektif (yang diraih bersama-sama pasukan).

"Saya sangat bertuah kerana memenangi segalanya dalam karier saya, dan Piala Dunia adalah satu yang saya tidak dapat. Sebab itulah, selepas memenanginya, saya sudah tidak fikirkan sangat mengenai anugerah (individu)," jelas Messi kepada pihak media.

Apa yang dikatakan Messi adalah sepadan dengan sebab mengapa pemain itu memilih untuk ke Inter Miami dan tidak menerima tawaran lumayan beraksi bersama-sama Cristiano Ronaldo, Karim Benzema dan Sadio Mane di Arab Saudi.

Hal ini kerana, Messi sudah memasuki fasa hanya ingin bersantai-santai sahaja dalam karier bola sepaknya dan tidak ingin menerima perhatian atau 'spotlight' yang melampau sekiranya berpindah ke Arab Saudi.

"Sekarang ini, saya sedang menikmati masa saya (bersama Miami). Saya tidak memikirkan mengenai Ballon d'Or. Kalau ia datang (kepada saya), baguslah tapi jika tidak, saya sudah pun berpuas hati dan saya sudah pun mencapai objektif saya.

"Sekarang ini saya bersama-sama dengan yang lain (rakan sepasukan) di kelab. Kami datang ke sini dengan satu misi, untuk membantu kelab memenangi pelbagai trofi dan secara peribadinya, memang itulah yang saya fikirkan," ujar Messi.

Miami akan menentang Nashville dalam perlawanan akhir pertama dalam sejarah kelab dengan pemenang akan menerima slot ke kejohanan CONCACAF Champions Cup. Juara akan ditentukan pada Ahad ini jam 9 pagi waktu Malaysia. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram