
MESKIPUN tiada perubahan dari segi penguasaan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu, kerajaan Pulau Pinang masih memilih untuk melakukan rombakan.
Antara yang semestinya mencuri perhatian adalah perubahan Exco Belia, Sukan dan Kesihatan dengan pemegang kerusi Dun Padang Lalang, Gooi Zi Sen dilantik untuk menggantikan Soon Lip Chee.
Pertukaran itu sudah semestinya menjadi topik perbualan hangat, lebih-lebih lagi dalam kalangan penyokong Penang FC yang mahu kehadiran ahli politik itu dapat memberi nafas baharu buat kelab terbabit.
Mereka yang ketika ini berada di tangga ke-10 Liga Super berada dalam prestasi terumbang-ambing, lebih-lebih lagi apabila baru sahaja disingkirkan daripada saingan Piala Malaysia.
Jadi, harapan cukup tinggi diletakkan di bahu Daniel Gooi untuk membawa skuad Harimau Kumbang kembali ke landasan terbaik untuk sekurang-kurangnya menutup musim 2023 di kedudukan lebih baik.
Cita-cita itu seakan-akan didengarinya apabila baru-baru ini, satu perbincangan dibuat antara Ahli Lembaga Pengarah Penang FC dengan dipengerusikan Daniel sendiri.
Pertemuan tersebut dikongsikannya menerusi satu hantaran di Facebook rasminya dengan dua keping foto disertakan untuk memberi khabar menggembirakan buat penyokong.
Merzagua mempunyai reputasi cukup baik dalam kalangan penyokong Penang FC.
"Selesai mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Penang FC yang pertama selaku Pengerusi Lembaga yang baharu. Keputusan terhadap isu sumber manusia kelab sudah dibuat dan pengumuman rasmi akan dibuat pada Isnin akan datang," tulisnya pada Jumaat.
Mesyuarat itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam bertujuan untuk berkongsi maklumat serta sasaran kelab Utara tanah air itu untuk musim akan datang.
Bagaimanapun, apa yang lebih menarik mengenai hantaran tersebut adalah apabila bekas pemain Penang FC, Merzagua Abderrazak turut sempat meninggalkan komen mencuri perhatian.
"Selepas menerima mesej daripada pengikut setia kelab, saya menawarkan diri kepada pihak pengurusan untuk membantu pasukan saya pada bila-bila masa," tulisnya.
Bekas pemain kelahiran Maghribi berkenaan sememangnya cukup disenangi dalam kalangan penyokong skuad Harimau Kumbang selepas menghabiskan majoriti tempoh kariernya bersama kelab itu.
Selain itu, Merzagua juga pernah membawa kejayaan buat Penang FC dari segi kejurulatihan apabila membawa mereka ke Liga Perdana dari Liga FAM pada 2014. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram