20 lagi kena tahan bantu siasatan kes gaduh penyokong bola sepak


  • 112
  • Jumaat, 25 Ogos 2023

Tangkap layar video tular yang memaparkan insiden pergaduhan antara penyokong Pulau Pinang dan Kedah Darul Aman di luar di Stadium Bandaraya. — TikTok

POLIS menahan 20 lagi lelaki tempatan bagi membantu siasatan berhubung insiden pergaduhan membabitkan penyokong kelab bola sepak Penang FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC, Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kesemua mereka yang ditahan berusia 18 hingga 30 tahun dan ditahan sekitar Pulau Pinang sejak Rabu.

"Tangkapan susulan itu berdasarkan siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak polis dan kesemua mereka direman selama tiga hari bermula hari ini (Khamis) bagi membantu siasatan.

"Dua daripada mereka mempunyai rekod lampau melibatkan kes dadah dan hasil ujian saringan awal ke atas kesemua yang ditahan itu mendapati mereka negatif daripada pengambilan dadah,'' katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan (Merusuh) dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan (Khianat).

Soffian berkata, pihak polis tidak menolak kemungkinan ada lagi tangkapan susulan akan dibuat berdasarkan siasatan yang dijalankan berhubung kejadian itu.

Beliau turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian agar menghubungi Inspektor Lim Zhao Yong di talian 01119078888 bagi membantu siasatan.

"Tujuh lelaki yang ditahan selepas kejadian bagi membantu siasatan insiden pergaduhan itu, telah dibebaskan dengan jaminan polis," katanya.

Insiden yang berlaku kira-kira 11.20 malam di sebuah stesen minyak di Jalan Perak dan disyaki berpunca daripada provokasi antara kedua-dua penyokong di luar Stadium Bandaraya selepas menyaksikan aksi Liga Super membabitkan Penang FC dan KDA FC.

Dalam perlawanan pada Selasa, KDA FC menundukkan Penang FC 2-1 dalam aksi ‘derbi utara yang berlangsung dalam suasana sedikit tegang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram