PASUKAN Terengganu FC (TFC) memulakan kempen Liga Super 2023 dengan menampilkan prestasi cemerlang apabila mampu bersaing dengan pihak lawan yang kini menduduki tangga kelima Liga Super 2023.
Skuad Sang Penyu memiliki barisan pemain yang cukup berpengalaman dan memiliki kelebihan masing-masing dalam kancah bola sepak.
Ini termasuk seorang pemain Sang Penyu, Azam Azmi Murad yang turut menjadi salah seorang pemain penting di bawah bimbingan jurulatih, Tomislav Steinbruckner.
Berkongsikan pengalaman sepanjang bergelar pemain bola sepak profesional, pertahanan kental Sang Penyu itu turut berkongsikan permulaan dalam dunia bola sepak.
"Saya mula menceburi bidang bola sepak ketika di bangku sekolah lagi dan selepas itu mendapat tawaran masuk ke Sekolah Sukan Terengganu," katanya.
Pertahanan kental Terengganu FC, Azam Azmi Murad. — Instagram/azamazmi_06
Azam Azmi juga mengimbau kembali kata-kata salah seorang gurunya yang mengesan terlebih dahulu bakat dalam bola sepak ketika di bangku sekolah dahulu kini menjadi kenyataan.
"Cikgu saya pernah cakap satu hari nanti saya akan bermain untuk Terengganu dan Malaysia," kongsinya.
Tetapi, bagi pemain kelahiran Penang itu tidak menyangka akan sampai tahap seperti yang dikatakan oleh gurunya itu.
Pemain berketinggian 1.74 meter itu juga berkongsi cabaran yang dihadapi olehnya sepanjang bergelar pemain bola sepak.
"Saya masih muda dan kalau main tak perform, ia merupakan kekecewaan bagi saya kerana tidak dapat menampilkan persembahan yang baik kepada pasukan, coach mahupun penyokong.
Bukan itu sahaja, Azam Azmi turut berkongsikan momen paling mengecewakan yang juga merupakan kenangan pahit yang sukar dilupakan olehnya.
"Bagi saya, pengalaman pahit adalah apabila dikenakan kad merah first time dalam hidup ketika beraksi untuk skuad senior kebangsaan," ujarnya.
Menurut pemain muda berusia 22 tahun itu, layangan kad merah itu dikenakan ketika perlawanan berdepan Vietnam dalam aksi Piala AFF 2022 yang merupakan penampilan sulungnya bersama skuad kebangsaan.
Selain itu, dia juga berkongsikan kenangan manis sepanjang bersama Sang Penyu adalah ketika Terengganu layak ke final dalam saingan Liga Super musim lepas.
"Momen paling indah adalah ketika Terengganu layak ke final musim lepas. Walaupun seperti tidak percaya layak ke final namun ia adalah salah satu usaha kami," kongsinya.
Di samping itu, bekas pemain skuad kebangsaan itu turut mendedahkan bahawa permulaan karier di Terengganu FC adalah ketika bekas pengendali Terengganu, Nafuzi Zain membawa masuk ke skuad utama TFC.
"Coach Nafuzi merupakan individu yang membawa saya masuk ke skuad utama ketika itu dan banyak mengajar pemain muda secara bertahap," ujarnya.
Selain itu, dia juga berkongsikan bahawa masih mempunyai sasaran yang ingin dicapai walaupun kontrak bersama Terengganu tamat.
"Saya ingin menghadiahkan Terengganu Piala dan bagi saya itu wajib sebab nak bagi something untuk pasukan," kongsinya.
Terengganu berada pada kedudukan kelima dalam carta Liga Super 2023 dengan mengutip 32 mata selepas 20 perlawanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram